KANGAR, 25 Mac (Bernama) -- Istana Arau akan melaksanakan solat sunat Al-Istisqa’ bagi memohon hujan di Dataran Istiadat pada 8 pagi esok.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah para jemaah yang akan datang dinasihatkan untuk menggunakan payung dari kenderaan ke dataran itu dan membawa sejadah masing-masing serta telah siap berwuduk dari rumah.
"Di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan," titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Sementara itu, baginda yang merupakan Yang Dipertua MAIPs bertitah bagi pelaksanaan di masjid seluruh negeri, Doa Al-Istisqa' akan dilaksanakan ketika Khutbah Jumaat yang akan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis bermula 27 Mac ini sehingga tempoh dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
"Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Al-Istisqa’, sila hubungi pihak JAIPs melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman Facebook MAIPs," titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Dalam pada itu, berdasarkan Facebook rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini, kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi, terdapat 16 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) termasuk Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial