AM

Ramanan Nafi Terlibat Transaksi Rm9.5 Juta

25/03/2026 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan penglibatan beliau dalam transaksi berjumlah RM9.5 juta.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia menyifatkan dakwaan seorang individu dikenali sebagai Victor Chin itu sebagai naratif kotor bertujuan memburukkan imej parti serta Ahli Parlimen kerajaan.

Beliau berkata individu berkenaan dalam dakwaannya ada menyebut beberapa watak termasuk 'Mr R', namun sengaja tidak menamakan individu sebenar yang dimaksudkan.

“Jangan bermain teka-teki, sebutkan nama terus, baru kita boleh saman. Baru kita boleh buktikan benar atau tidak isu 'mafia korporat' yang dikatakan. Kalau ada bukti tunjukkan.

“Ini adalah naratif kotor untuk menjatuhkan imej PKR, apabila mengaitkan Ahli Parlimen (MP) kerajaan,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh, di sini hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata adalah tidak logik untuk mengaitkan dirinya dengan individu yang tidak pernah ditemui atau dikenali secara peribadi.

“Saya tahu beberapa individu tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya dengan isu ini, dia kata saya ialah Mr R. Individu itu mendakwa ratusan juta saham dipindahkan kepada saya.

“Saya tidak mempunyai sebarang pemilikan saham. Saya tidak fikir mana-mana MP akan terlibat dengan transaksi saham bernilai ratusan juta kerana kita mempunyai Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ramanan mengarahkan semua ketua cabang PKR di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan individu berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramanan berkata selaku Naib Presiden PKR, beliau perlu tampil menjernihkan keadaan.

Beliau enggan membebankan Perdana Menteri yang kini fokus kepada agenda ekonomi dunia yang lebih penting.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan