KOTA TINGGI, 25 Mac (Bernama) -- Operasi pemadaman hutan belukar dianggarkan seluas 150 hektar di laluan Jalan Bypass Punggai ke Sebana Cove mencapai 80 peratus setakat 1 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata anggaran baki kebakaran seluas 30 hektar lagi masih aktif dan dalam proses pemadaman.
Beliau berkata kebakaran merebak dengan pantas disebabkan keadaan cuaca panas dan kering selain tiupan angin kuat yang menyukarkan usaha pemadaman.
"Kita melaksanakan teknik direct attack menggunakan aliran hos hingga 1,200 kaki, sistem relay pumping serta pam berkuasa tinggi dengan sumber air diperoleh daripada takungan berhampiran bagi memastikan bekalan berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu melibatkan lebih 30 anggota bomba dari BBP Punggai dan BBP Sungai Rengit, dibantu pegawai daripada Ibu Pejabat JBPM Johor serta Unit Dron Zon 3 bagi pemantauan udara.
Turut terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar, Yayasan Perladangan Johor, KEJORA dan Majlis Perbandaran Pengerang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ezam berkata satu lagi kebakaran hutan belukar dilaporkan berlaku semalam di kawasan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat berikutan asap tebal yang menjejaskan kualiti udara dan jarak penglihatan.
Kebakaran kedua ini, katanya, melibatkan keluasan kira-kira 10 hektar, dengan hanya 4.7 hektar atau 50 peratus berjaya dipadamkan setakat ini.
Beliau berkata keadaan di lokasi berkenaan lebih mencabar kerana api masih marak membakar pokok dan belukar kering, selain menghasilkan asap tebal yang tinggi.
“Keadaan asap yang tebal menyukarkan pergerakan anggota serta operasi pemadaman. Namun, usaha terus dipergiatkan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan penempatan berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial