Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Rabu susulan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur yang menunggu petunjuk jelas bahawa perang Iran akan reda.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 3.9620/9670 berbanding dolar AS daripada 3.9530/9585 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran global dilihat bersikap defensif apabila peniaga dan pelabur menjangka terdapat petunjuk yang jelas bahawa ketegangan konflik di Asia Barat bakal reda.
"Situasi semasa bukan sahaja berlaku kepada ringgit berikutan mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar AS. Bagaimanapun, Indeks Dolar AS (DXY) kekal di bawah 100 mata dan pada masa ini bergerak pada sekitar 99.348," katanya kepada Bernama.
Pada sesi dagangan petang, Mohd Afzanizam berkata ringgit menunjukkan penyusutan secara beransur-ansur berbanding dolar AS, dengan gandingan dolar AS-ringgit bergerak daripada RM3.9450 semasa awal dagangan kepada RM3.9635 pada sebelah petang.
Ringgit ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.4935/4969 daripada 2.4916/4954 semasa ditutup pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.3087/3154 daripada 5.2982/3056 dan menyusut berbanding euro kepada 4.5963/6021 daripada 4.5835/5899 sebelumnya.
Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0965/1007 daripada 3.0909/0955 dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 234.2/234.6 daripada 233.9/234.3 semasa ditutup pada Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial