KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Astro Malaysia Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2026 (TK2026) kepada RM63.13 juta daripada RM129.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan hasil bagi kumpulan penyiaran, termasuk stesen televisyen berbayar itu bagi TK2026 juga susut kepada RM2.79 bilion daripada RM3.08 bilion yang dicatat pada tahun sebelum itu.
“Penurunan itu disebabkan terutamanya oleh pengurangan hasil daripada langganan, pengiklanan, pendapatan sewa dan jualan hak pemprograman,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh suku keempat berakhir pada 31 Jan, 2026, keuntungan bersih Astro menokok kepada RM24.07 juta daripada RM10.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala hasil bagi suku semasa mencatatkan penurunan sebanyak RM53.5 juta atau 7.0 peratus kepada RM712.9 juta berbanding RM766.4 juta dalam suku sama tahun lepas.
Astro menyifatkan penurunan hasil itu disebabkan oleh pendapatan daripada langganan dan pengiklanan yang lebih rendah.
Setakat 31 Jan, 2026, kumpulan berkenaan mempunyai jumlah aset RM4.97 bilion berbanding RM5.48 bilion setakat 31 Jan, 2025 iaitu penyusutan sebanyak RM509.9 juta atau 9.3 peratus.
Penurunan jumlah aset itu disumbangkan terutama oleh pengurangan pelaburan dalam unit amanah sebanyak RM408.9 juta, cukai boleh dituntut semula sebanyak RM42.7 juta serta belum terima sebanyak RM48.1 juta.
Jumlah liabiliti kumpulan berkurangan sebanyak 13.4 peratus atau RM562.8 juta kepada RM3.64 bilion berbanding RM4.2 bilion setakat 31 Jan, 2025.
Pengurangan itu didorong terutamanya oleh penyusutan pinjaman sebanyak RM626.9 juta berikutan liabiliti pajakan lebih rendah susulan pembayaran balik liabiliti pajakan serta terma pinjaman pada tahun berkenaan dan pertukaran asing yang belum direalisasikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial