AM

Bau Busuk Bawa Penemuan Mayat Tiga Sekeluarga Di Merbok

26/03/2026 03:19 PM

SUNGAI PETANI, 26 Mac (Bernama) -- Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok dekat sini membawa kepada penemuan mayat tiga sekeluarga, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya dimaklumkan kejadian pada 12.30 tengah malam tadi oleh orang awam yang turut memaklumkan tidak menemui penghuni rumah itu selama tiga hari. 

Beliau berkata mereka ialah Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya Suraya Man, 53, serta anak kepada wanita itu hasil perkahwinan terdahulu yang berusia 29 tahun.

Pasangan itu difahamkan berkahwin sejak beberapa tahun lepas.

“Rumah itu dalam keadaan gelap dan kita terpaksa memecah masuk sebelum menemukan mayat suami isteri yang berbungkus dan ditutup dengan karpet serta pakaian di dapur.

“Mayat anak mangsa wanita ditemukan di tingkat atas rumah dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher,” katanya pada sidang media di Balai Polis Merbok di sini, hari ini. 

Hanyan berkata mayat pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah berusia lebih 48 jam manakala satu lagi mayat masih baru. 

Pasangan suami isteri itu ditemukan dalam keadaan kepala terpisah daripada badan dan dibungkus serta diletakkan di sisi mayat, selain terdapat anggota badan mangsa wanita dipotong, dipercayai untuk dilupuskan.

Pelbagai jenis senjata tajam yang dikumpulkan di dalam bekas pula ditemukan berdekatan mayat di bahagian atas rumah tersebut.

Hanyan berkata terdapat percikan darah di kawasan ruang tamu rumah dan tanda percubaan untuk melupuskan mayat kerana kesan di ruangan itu telah dibersihkan.

“Kejadian dipercayai berlaku antara 8 malam Isnin lepas sehingga penemuan mayat tengah malam tadi,” katanya,” katanya. 

Hanyan berkata seorang lagi anak wanita itu yang bekerja sebagai tentera telah pulang ke rumahnya di Johor pada Isnin lepas, selepas menyambut Aidilfitri. 

Selain itu, beliau berkata berdasarkan maklumat, lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada 2018 hingga 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.

 Hanyan berkata siasatan awal mendapati kes menjurus kepada kes bunuh dengan suspek dipercayai sudah meninggal dunia.

Setakat ini, beliau berkata lima saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan