BINTULU, 26 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggunakan kaedah water-bombing dengan helikopter dalam operasi memadam kebakaran belukar di Kuala Tatau-Serupai, Tatau berikutan ketiadaan sumber air terbuka di lokasi.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak memaklumkan kebakaran tanah gambut itu memasuki hari keempat dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan lapan hektar.
“Operasi pemadaman diteruskan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau pagi ini, dengan pemantauan awal dilakukan sebelum tindakan diambil.
“Kebakaran didapati semakin merebak dan menghampiri kawasan kebun penduduk, namun lokasi kejadian jauh serta sukar diakses,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Unit Udara JBPM dari Miri digerakkan ke lokasi dan tiba pada 10.51 pagi bagi membantu operasi pemadaman menggunakan kaedah water-bombing.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 15 operasi water-bombing dilaksanakan setakat 12.12 tengah hari di beberapa tompok kebakaran, sebelum meningkat kepada 30 operasi menjelang 2 petang.
“Helikopter jenis Mi-171 itu mendapatkan sumber air dari laut untuk operasi pemadaman,” menurut kenyataan itu, sambil menambah kira-kira tiga hektar kawasan berjaya dipadamkan setakat 3 petang.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tawang Linggem dengan kekuatan 11 anggota serta tiga jentera darat, manakala unit udara JBPM Miri melibatkan 14 anggota dan sebuah helikopter.
Sementara itu di Sibu, pihak bomba menggunakan dron bagi memantau kebakaran di bawah pencawang elektrik berhampiran sebuah institut memandu di Jalan Tunku Abdul Rahman susulan kesukaran akses ke lokasi.
Ketua Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba I Andy Alie berkata dron milik Pasukan Bomba Sukarela Komuniti Lanang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digunakan untuk menilai tahap kebakaran serta mengenal pasti laluan masuk.
“Kawasan tersebut tidak dapat diakses, jadi kami menggunakan dron untuk melihat status kebakaran. Usaha sedang dilakukan untuk mencari laluan bagi membolehkan operasi pemadaman dijalankan segera,” katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial