AM

Kerajaan Peruntuk RM28 Juta Naik Taraf Bazar Siti Aisyah

29/03/2026 03:49 PM

KOTA BHARU, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM28 juta kepada agensi pelaksana Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi menaik taraf Bazar Siti Aisyah di sini. 

Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan dan Pelaburan Kumpulan PKINK Ahmad Hilmi Mohd Nawawi berkata pelaksanaan projek naik taraf itu mengambil masa 36 bulan dan dijangkakan siap pada Disember 2028.

“Objektif projek ialah menaik taraf bangunan dan infrastruktur sedia ada untuk menjadikannya lebih selesa kepada peniaga serta pengunjung selain menggalakkan pemerkasaan usahawan Bumiputera, terutamanya batik dan kraf tangan,” katanya.

Ahmad Hilmi berkata demikian pada taklimat Majlis Jelajah Media @ Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata bazar berusia 41 tahun yang turut dikenali sebagai Bazar Buluh Kubu amat terkenal dengan penjualan barangan kraftangan, kain tempatan seperti songket dan batik, hasil tangan tembaga, ukiran kayu serta juadah tradisional.

“Antara skop pembangunan projek ini ialah pembesaran unit kedai, cadangan ruang dewan, baik pulih infrastruktur elektrik, sistem longkang, tangki septik dan penambahan parkir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ICU JPM Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail berkata projek pembangunan yang dilaksanakan bukan hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur sebaliknya turut merangkumi peningkatan sosioekonomi masyarakat setempat.

“Antara fokus utama program ialah memperincikan strategi pelaksanaan projek sosioekonomi agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata pelaksanaan majlis itu memberi ruang kepada semua pihak daripada agensi Persekutuan dan negeri berkongsi pandangan serta memperkukuh kerjasama dengan pengamal media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan