AM

Cuaca Panas: Beri Rezeki Lebih Kepada Peniaga Air Kelapa, Nanas Tepi Jalan Di Perlis

29/03/2026 03:26 PM

ARAU, 29 Mac (Bernama) -- Cuaca panas di Perlis memberikan rezeki lebih kepada peniaga air kelapa dan nanas tepi jalan di negeri itu apabila jualan mereka laris berbanding cuaca biasa sebelum ini.

Tinjauan Bernama di sekitar Arau dan Kangar hari ini mendapati rata-rata peniaga itu memberikan respon positif yang cuaca panas itu mempengaruhi hasil jualan mereka.

Peniaga air kelapa tepi jalan di Tambun Tulang, Arau Mohd Khuzairi Amrin Amir, 26, berkata beliau menggunakan kira-kira 60 hingga 70 biji kelapa muda sehari semasa cuaca panas ketika ini berbanding 30 biji pada hari cuaca biasa sekali gus meningkatkan pendapatan jualan air kelapanya.

"Saya jual air kelapa ini dua tahun dah, sebelum ini saya berniaga di lokasi lain di Arau ini, sebelum berpindah ke tepi jalan Tambun Tulang ini, saya boleh katakan tahun lepas pun tak sepanas tahun ini, jual air kelapa pun laku, macam jualan semalam 65 biji kelapa muda habis," katanya.

Mohd Khuzairi Amrin berkata beliau menjual air kelapa itu dalam cawan plastik dan bungkusan plastik mengikut permintaan pelanggan dengan harga RM3 sebungkus.

"Buah kelapa muda itu sendiri juga saya jual jika ada pelanggan nak beli untuk mereka minum air kelapa secara terus dari buah, saya jual pada harga RM5 sebiji," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, peniaga air nanas tepi jalan di Kuala Perlis, Kangar Jafni Ariman, 39, berkata beliau yang mula berniaga air nanas di situ sejak Ramadan tahun lepas melahirkan rasa syukur jualan minumannya laris pada cuaca panas.

Jafni berkata dianggarkan antara 70 hingga ke 100 cawan dan bungkusan plastik air nanas habis terjual sehari dalam keadaan cuaca panas di negeri itu berbanding kira-kira 40 cawan dan bungkusan plastik pada hari cuaca biasa.

"Kalau tanya saya sebagai peniaga kecil ini, saya seronok berniaga pada cuaca panas lagi sebab letak air nanas ini sekejap saja ada orang mai (datang) beli dan cepat habis terjual sebab cuaca panas ini orang rasa lebih dahaga.

"Pelanggan boleh pilih nak beli air nanas ini sama ada dalam bungkusan plastik atau cawan plastik yang saya jual pada harga RM3 sebungkus," katanya.

Berdasarkan data terkini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat 6 pagi tadi, status cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) direkodkan di seluruh Perlis.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan