AM

Pesawah Bimbang Status Empangan Bukit Merah, Jadual Penanaman Terganggu

29/03/2026 04:51 PM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar dan Fadzlina Abu Bakar Sidek

IPOH, 29 Mac (Bernama) -- Golongan pesawah di kawasan Kerian menyuarakan kebimbangan terhadap situasi cuaca panas ketika ini, yang menyebabkan status semasa Empangan Bukit Merah berada pada paras Kritikal Pengairan Tahap 1.

Pesawah yang juga Ketua Unit Parit Abas, Ishak Yunus, 66, berkata keadaan itu mengakibatkan penjadualan bekalan air bagi musim penanaman baharu terpaksa ditunda, sekali gus memberikan tekanan kepada pesawah yang sudah mengeluarkan modal bagi persiapan tanah serta pembelian benih padi.

Beliau berkata kelewatan penyaluran bekalan air yang sepatutnya bermula pada 25 Mac lepas kini dianjak kepada 8 April ini, namun mereka tetap risau sekiranya tarikh itu ditunda lagi jika tiada hujan lebat di kawasan berkenaan.

"Kami bimbang air pengairan tu ditangguhkan lagi. Kami mula 25 Mac, kalau ditangguh 8 April sudah lewat dua minggu. Masalah kami yang itu sahaja. 

"Hasil kami sudah merosot banyak, kemudian nak tanam semula lewat, hasil lagi lewat. Kami bukan ada pendapatan tetap," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagi pesawah di kawasan Kuala Kurau, Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi, 42, pula memaklumkan pesawah kini terpaksa melakukan inisiatif sendiri dengan beralih kepada varieti padi yang lebih tahan lasak dalam air bagi mengelakkan pembaziran.

Langkah itu dilakukan bagi membolehkan air di dalam sawah tidak perlu dibuang seperti amalan biasa, memandangkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air semula sekiranya cuaca panas berterusan.

"Kami akur dan mengambil langkah sewajarnya dengan beralih kepada varieti padi yang lebih tahan lasak, air di dalam sawah tidak akan dibuang bagi mengelakkan risiko ketiadaan bekalan pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah di kawasan Kuala Kurau, Mohd Ehsan Khairudin, 41, berkata kelewatan jadual pengairan bukan sahaja menambah beban kos racun akibat pertumbuhan rumput yang cepat, malah turut menjejaskan kualiti percambahan benih padi yang disimpan terlalu lama oleh petani.

Beliau yang juga pengusaha jentera traktor mengakui tertekan dengan situasi tersebut kerana kebanyakan petani di kawasan itu mengamalkan sistem bayaran tertunda yang hanya akan dilunaskan selepas musim menuai tamat.

"Kita ambil maklum juga nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian supaya guna air secara berhemat, tetapi kita tetap bimbang juga sekiranya cuaca panas ini berlarutan yang boleh menyebabkan jadual penanaman terganggu," kata Mohd Ehsan.

Sementara itu, Pengarah JPS Negeri Perak Dr Asnor Muizan Ishak berkata JPS Daerah Kerian telah mengesyorkan supaya jadual bekalan air bagi kompartmen yang belum memulakan penanaman ditangguhkan selama dua minggu daripada jadual asal.

Beliau berkata pengesyoran itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Penetapan Semula Jadual Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan mesyuarat telah bersetuju dengan pindaan jadual itu berdasarkan keadaan semasa Empangan Bukit Merah yang berada pada status Kritikal Pengairan Tahap 1.

"Secara keseluruhannya, keadaan empangan yang berada pada tahap kritikal memerlukan pemantauan berterusan, pengurusan pelepasan air secara berdisiplin dan penggunaan sumber air secara berhemat," katanya.

Asnor Muizan berkata langkah pelarasan jadual bekalan air serta penggunaan sumber alternatif seperti pam adalah penting bagi memastikan kelangsungan bekalan pengairan dapat dipertahankan dalam tempoh kemarau.

Beliau berkata kerjasama daripada semua pihak khususnya pasukan operasi empangan, pengurusan pengairan serta agensi berkaitan amat dihargai bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat, cekap dan berkesan.

Terdahulu, JPS Daerah Kerian di laman Facebook memaklumkan status semasa Empangan Bukit Merah berada pada aras Kritikal Pengairan Tahap 1, iaitu 6.995 meter (m) berbanding aras berjaga-jaga 7.62 m, manakala aras normal bagi prosedur operasi standard (SOP) bekalan pengairan ialah 8.69 m.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan