JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Mesir Ditahan Ugut Bunuh, Bakar Kediaman Warga Emas

29/03/2026 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Mesir kerana disyaki mengugut untuk membunuh, dan membakar kediaman seorang wanita warga emas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek berusia lingkungan 20-an itu, yang menyewa sebuah bilik di rumah mangsa, ditahan di lokasi sama pada Khamis, susulan laporan polis oleh mangsa yang berusia pertengahan 70-an.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati berhubung bayaran sewaan bulanan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan suspek pada 12.49 tengah malam. Semakan mendapati lelaki itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata suspek direman tiga hari bermula 26 hingga 28 Mac bagi membantu siasatan kes ugutan, sebelum direman selama 14 hari lagi bermula hari ini hingga 11 April bagi siasatan kes imigresen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki mencederakan jirannya dalam kejadian di Taman Midah, Cheras, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata suspek berusia pertengahan 20-an itu ditahan di tepi Jalan Peel pada 9.30 malam, Rabu lepas susulan laporan yang dibuat mangsa, lelaki tempatan berusia awal 60-an.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak kerana tidak berpuas hati berhubung isu parkir kenderaan,” katanya.

Beliau berkata suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata kasar sebelum membaling kayu dan batu ke arah mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki serta sakit di beberapa bahagian badan.

Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman dua hari bermula Khamis lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan