JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Tembak Adik Hingga Maut, Ditembak Mati Polis Di Tenom

31/03/2026 02:16 PM

KOTA KINABALU, 31 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki bertindak menembak adik kandungnya sehingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, Tenom, Ahad lepas. 

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.

Suspek berusia 57 tahun, yang juga abang mangsa, dipercayai menembak adiknya menggunakan senjata buatan sendiri jenis ‘bakakuk’.

Ketua Polis Daerah Tenom, Supt Azmir Abd Razak dalam kenyataan hari ini berkata sebaik pihaknya tiba di lokasi, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api serta mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan itu.

Operasi kepungan kemudian dilaksanakan kira-kira 9.30 pagi, dengan polis mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan itu tidak diendahkan.

“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun lelaki itu terus berdegil dan enggan memberikan kerjasama. 

“Keadaan bertukar tegang apabila suspek tiba-tiba berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata api ke arah seorang pegawai polis yang berada berhampiran tingkap sisi rumah. Pegawai tersebut kemudian bertindak bagi tujuan mempertahankan diri, telah melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.

“Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan