KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Bank pusat perlu berkembang menjadi arkitek berdaya tahan dalam landskap global yang sentiasa berubah dan bukan sekadar menjadi penjaga kestabilan walaupun peranan itu masih penting, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau menegaskan walaupun kestabilan memastikan institusi tetap teguh, daya tahan pula memastikan ia boleh dihuni dengan selamat, secara adaptif dan bersifat jangka panjang.
Abdul Rasheed berkata bank pusat telah berkembang, dibentuk semula oleh krisis, kegagalan dan pembelajaran sukar yang diperoleh sepanjang generasi, termasuk pelbagai episod sejarah ekonomi seperti Kemelesetan Besar, stagflasi pada 1970-an, Krisis Kewangan Asia 1997/1998 dan Krisis Kewangan Global 2008.
Bagi Malaysia, beliau berkata tanggungjawab BNM untuk melindungi kestabilan monetari dan kewangan wujud tepat untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Bagi Malaysia, evolusi ini telah dilalui dengan begitu mendalam. Krisis Kewangan Asia pada akhir 90-an merupakan pengalaman yang membentuk kita. Keputusan ketika itu berpandukan matlamat yang jelas: untuk melindungi sistem kewangan kita, menjaga isi rumah dan perniagaan, serta meletakkan asas bagi pemulihan yang ramai meragui kemungkinannya.
“Pengalaman itu membentuk dan menjadikan karakter institusi BNM kukuh dalam jangka masa panjang, satu kekuatan yang terus membantu kami menempuh tahun-tahun pandemik dan seterusnya,” kata Abdul Rasheed dalam ucaptama beliau di Mesyuarat Perbankan Pusat hari ini.
Gabenor BNM berkata pengalaman dalam mengharungi Krisis Kewangan Asia memberikan keyakinan kepada bank pusat bahawa daya tahan tidak berlaku secara kebetulan; ia dibina secara holistik melalui pengukuhan ekosistem, disiplin dasar, peranan institusi yang jelas, rangka kerja yang kukuh dan kesediaan untuk membuat keputusan sukar pada masa yang sukar.
Beliau berkata untuk membina daya tahan yang dituntut daripada bank pusat, institusi ini harus menilai dan mengemudi landskap ekonomi global yang berubah, mengurus transformasi pesat teknologi baru dan perubahan demografi, serta menahan tekanan awam terhadap tindakan mereka yang boleh berlaku secara masa nyata atau dalam masa beberapa jam.
"Keputusan bank pusat dianalisis secara masa nyata, diterjemahkan menjadi naratif yang sampai kepada berjuta-juta orang dalam masa beberapa jam. Setiap perkataan dalam kenyataan dasar diteliti untuk mencari makna yang tersirat," kata beliau.
Abdul Rasheed berkata bank pusat, termasuk BNM, sedang menyesuaikan diri dalam landskap yang berubah ini dengan mengubah tumpuan mereka, memperkukuh daya tahan melalui tindakan kolektif, berkomunikasi untuk meraih kepercayaan dan membina kapasiti institusi melalui teknologi dan modal insan.
Beliau berkata peranan bank pusat telah berkembang melangkaui mandat teras mereka, memerlukan pendekatan yang lebih bersepadu yang mengambil kira hubungan ekonomi yang lebih luas seperti keadaan fiskal, pasaran buruh dan keterangkuman kewangan.
Pada masa yang sama, Abdul Rasheed berkata keselarasan dasar merentasi sektor awam dan swasta akan memajukan pembaharuan struktur dan langkah-langkah perlindungan sosial.
"Selain itu, komunikasi mestilah jelas, mudah difahami dan jujur, direka bentuk untuk mengukuhkan pemahaman tulen orang ramai tentang apa yang kami lakukan dan mengapa kami lakukan.
"Bank pusat memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan sambil terus membangunkan bakat dan kepakaran yang dapat menggabungkan kepakaran dasar dengan wawasan industri yang praktikal," tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial