SHAH ALAM, 31 Mac (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Asia Barat, tidak akan dikenakan sebarang caj tol.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya, pagi tadi.
"Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi telah memaklumkan perkara ini kerana Malaysia dianggap sebagai negara sahabat dengan hubungan diplomatik yang kukuh, dan tiada caj tol dikenakan terhadap kapal Malaysia.
"Perdana Menteri juga berkongsikan perkara ini dalam mesyuarat MTEN," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian cek cura kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chan Hwa di sini, hari ini.
Berhubung kesan konflik Asia Barat terhadap sektor penerbangan domestik, Loke berkata setakat ini, tiada cabaran besar selain kenaikan kos bahan api, namun kementerian mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain industri untuk memastikan keadaan terus terkawal.
"Beberapa syarikat penerbangan memberitahu kerajaan bahawa mereka mungkin akan merasionalisasikan operasi termasuk menggabungkan penerbangan bagi meningkatkan kecekapan. Jika faktor muatan rendah, mungkin beberapa penerbangan di laluan tertentu dikurangkan," katanya sambil menambah langkah itu bersifat sementara berikutan kos bahan api yang amat tinggi pada masa ini.
Berkenaan sektor perkapalan, Loke berkata kerajaan dan pihak berkepentingan sedang berbincang untuk memperkenalkan mekanisme surcaj yang lebih bersusun dan seragam bagi memastikan penetapan harga yang adil dan mampan.
Beliau berkata Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) juga telah membentangkan pandangan mereka kepada mesyuarat MTEN, termasuk gesaan untuk pengurusan dan tadbir urus surcaj yang lebih baik.
Sementara itu, Loke berkata tiada projek di bawah kementerian akan dihentikan, namun keutamaan mungkin diselaraskan, sejajar dengan arahan Perdana Menteri untuk memastikan projek yang memberikan manfaat terbesar kepada rakyat dan ekonomi perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
"Setakat ini, tiada potongan belanjawan dan tiada projek dihentikan, namun kami memantau keadaan dengan teliti dan mengutamakan projek yang membawa lebih banyak manfaat kepada negara dan rakyat," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Loke menggalakkan langkah mudah seperti perancangan perjalanan yang lebih baik, berkongsi kenderaan dan penggunaan pengangkutan awam bagi membantu memastikan bekalan tenaga kekal stabil, sambil menggesa sektor korporat mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap.
Beliau berkata kerajaan kini dalam "mod krisis" dengan mesyuarat MTEN akan diadakan pada setiap Selasa.
"Walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, kita masih bergantung pada pasaran global dan bekalan luar. Fokus kerajaan sekarang ialah memastikan bekalan bahan api kekal stabil," katanya.
Loke berkata satu mesyuarat dengan pengendali e-hailing akan diadakan untuk membincangkan inisiatif seperti perkongsian kenderaan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dalam sektor berkenaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa konflik yang berterusan ini boleh memberikan kesan ekonomi berpanjangan yang mungkin berlangsung antara enam hingga 24 bulan bergantung pada tempoh peperangan itu berlaku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial