AM

Task Force Perumahan Berjaya Pulihkan 1,501 Projek, Sasar Sifar Terbengkalai Menjelang 2030

01/04/2026 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Sebanyak 1,501 projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) pada 2023.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pencapaian itu melibatkan 176,687 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM140.87 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 121 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, manakala 1,345 projek telah siap sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Selain itu, 35 projek yang sebelum ini terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal atau penyelesaian kepada pembeli,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek Residensi Hektar Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata setakat Januari hingga 28 Feb lepas, sebanyak 145 projek perumahan swasta dikenal pasti berstatus lewat dan 309 projek berstatus sakit, sekali gus menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya sebanyak 99 projek masih berstatus terbengkalai dan pihaknya sedang meneliti penyelesaian terbaik bagi setiap projek berkenaan.

Aiman Athirah berkata kerajaan menyasarkan sifar projek perumahan baharu terbengkalai menjelang 2030 melalui pelaksanaan intervensi bersasar oleh Task Force berkenaan.

Beliau turut memaklumkan tiga negeri mencatat sifar projek terbengkalai iaitu Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat dalam usaha memperkukuh Task Force serta menangani isu projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian akan mempergiatkan program turun padang bagi memantau kemajuan projek secara langsung serta memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mengenai projek Residensi Hektar Gombak, beliau berkata projek itu dijangka siap pada suku pertama 2027 dengan kemajuan terkini menunjukkan peningkatan kira-kira 20 peratus sejak lawatan terakhir pada November lepas.

Katanya kelewatan projek berkenaan sebelum ini berpunca daripada kesan pandemik COVID-19  termasuk kekangan bahan binaan dan tenaga kerja.

Sementara itu, Aiman Athirah menegaskan kontraktor yang gagal menyiapkan projek berulang kali akan disenaraihitamkan serta dikenakan tindakan oleh kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan