DUNIA

UAE Gesa PBB Lulus Langkah Termasuk Guna Kekuatan Untuk Buka Semula Selat Hormuz - Laporan

02/04/2026 11:35 AM

ISTANBUL, 2 April (Bernama-Anadolu) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan langkah, termasuk penggunaan kekuatan untuk membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik Bloomberg pada Rabu.

Majlis perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pelayaran selamat di selat itu dan kawasan sekitarnya, kata Duta Mohamed Abushahab dalam surat bertarikh Selasa kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan.

Negara Teluk itu secara khusus berusaha untuk menggunakan Bab 7 Piagam PBB. 

Rangka kerja perundangan itu memberi kuasa kepada majlis berkenaan untuk menangani ancaman terhadap keamanan antarabangsa melalui langkah yang merangkumi sekatan ekonomi hingga penggunaan kekuatan ketenteraan yang dibenarkan.

Selat Hormuz terjejas sejak awal Mac, apabila Iran bertindak menyekat laluan perairan itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Feb.

Kira-kira 20 juta tong minyak, iaitu sekitar 20 peratus bekalan global melalui selat itu setiap hari. 

Penutupannya telah menyebabkan harga minyak global meningkat, mengganggu perkapalan dan mencetuskan kebimbangan terhadap kesan ekonomi yang berpanjangan. 

AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sejak akhir Februari, menyebabkan lebih 1,340 orang terbunuh termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan