PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SEIRING PRESTASI PASARAN SERANTAU

20/09/2024 06:55 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat sejajar dengan prestasi kebanyakan pasaran Asia lain yang mendapat rangsangan daripada kenaikan di Wall Street, apabila para pelabur menyambut baik penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS). 

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.17 mata atau 0.19 peratus kepada 1,668.82 daripada paras penutup 1,665.65 pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka tinggi naik 5.03 mata kepada 1,670.68, diniagakan antara paras 1,668.48 dan 1,674.04 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 732 berbanding 468, manakala 465 kaunter tidak berubah, 850 tidak diniagakan dan 32 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.19 bilion unit bernilai RM5.97 bilion daripada 3.99 bilion unit bernilai RM4.08 bilion pada Khamis.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors  Mohd Sedek Jantan, berkata kenaikan FBM KLCI itu diterajui oleh saham utiliti, logistik dan perbankan, mencerminkan sentimen pasaran yang bertambah baik.

Selain itu, saham permodalan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan mencatatkan lantunan semula, mendapat manfaat daripada penurunan kadar AS.

Kenaikan ringgit ketika ini juga memberi sokongan kepada sektor pengguna, utiliti, kewangan dan automotif, kata Mohd Sedek.

"Kami menjangkakan pendapatan daripada projek pusat data mula dijana pada suku-suku akan datang yang akan memacu pertumbuhan dalam sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah ketika kita melangkah ke 2025,” katanya kepada Bernama.  

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 1.53 peratus kepada 37,723.91, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.36 peratus kepada 18,258.57 dan Indeks Straits Times Singapura turun 0.34 peratus kepada 3,620.78.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi Bursa Malaysia, Public Bank naik satu sen kepada RM4.70, CIMB melonjak 15 sen kepada RM8.44, Press Metal naik satu sen kepada RM4.94, MISC menokok lapan sen kepada RM8.22, TNB tidak berubah pada RM14.64, IHH Healthcare jatuh lima sen kepada RM7.10, dan Hong Leong Bank berkurangan dua sen kepada RM21.08.

Dalam kalangan kaunter cergas Sime Darby Property meningkat lima sen kepada RM1.54, Top Glove, naik enam sen kepada RM1.10 dan Sunway menambah satu sen kepada RM4.39. Capital A menokok tujuh sen kepada 89 sen, OCR kekal tidak berubah pada enam sen, manakala Cape EMS turun setengah sen kepada 37.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 50.04 mata kepada 12,538.75, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 33.39 mata kepada 12,412.47 dan Indeks FBMT 100 menokok 43.40 mata kepada 12,231.21.

Indeks FBM 70 melonjak 138.64 mata kepada 17,941.90 dan Indeks FBM ACE naik 23.45 mata kepada 5,202.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat kepada 73.33 mata kepada 19,688.81, Indeks Tenaga naik 1.62 mata kepada 876.72, Indeks Perladangan berkurangan 10.48 mata kepada 7,176.65, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.59 mata kepada 178.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.74 bilion unit bernilai RM5.72 bilion, berbanding 2.16 bilion unit bernilai RM3.74 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.05 bilion unit bernilai RM108.90 juta daripada 1.28 bilion unit bernilai RM145.78 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 393.99 juta unit bernilai RM135.41 juta daripada 554.21 juta unit bernilai RM196.59 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 375.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (478.29 juta), pembinaan (267.94 juta), teknologi (307.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (197.75 juta), hartanah (450.81 juta), perladangan (28.63 juta), REITs (76.68 juta), dana tertutup (226,200), tenaga (117.64 juta), penjagaan kesihatan (215.37 juta), telekomunokasi dan media (55.34 juta), pengangkutan dan logistik (36.53 juta), utiliti (134.81 juta) dan amanah perniagaan (1.33 juta).

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan