PASARAN > BERITA

PEMOTONGAN FFR AS BERI KELEBIHAN PADA RINGGIT UNTUK DITUTUP TINGGI

20/09/2024 08:04 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Ringgit memperoleh kelebihan yang ketara daripada pemotongan 50 mata asas (bps) kadar dana persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS), kerana nilainya terus meningkat berbanding dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.2005/2070 berbanding dolar AS daripada 4.2025/2105 ketika ditutup pada Khamis.

Dalam tempoh enam bulan, ringgit naik 12.67 peratus berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jurang antara FFR dan kadar dasar semalaman (OPR) berkemungkinan mengecil, yang memberi petanda baik untuk ringgit kerana pulangan pelaburan daripada aset dalam denominasi ringgit akan menjadi semakin menarik.

“Memang benar, ringgit-dolar AS telah menembusi paras sokongan segeranya pada RM4.2128 dan pada masa ini paras sokongan serta-merta berada pada RM4.0728.

"Oleh itu, kita akan melihat ringgit mencuba sekali lagi untuk mencapai paras baharu yang lebih tinggi minggu depan," katanya kepada Bernama.

Pada masa depan, pasaran akan memantau data penting iaitu inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS, yang akan dikeluarkan pada Jumaat bersama dengan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) Universiti Michigan.

Indeks sentimen itu menilai tahap relatif keadaan ekonomi semasa dan juga pada masa depan.

“Pasaran menyambut baik pemotongan separuh mata oleh Rizab Persekutuan dan nampaknya ekonomi AS akan mengalami kelembapan yang tidak ketara dan seterusnya mengurangkan kebimbangan mengenai kemelesetan,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6878/6950 daripada 4.6976/7065 ketika ditutup semalam, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9182/9229 daripada 2.9442/9500, tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.5841/5928 daripada 5.5822/5928 semalam.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2507/2559 daripada 3.2567/2632 ketika ditutup pada Khamis, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.7026/7288 daripada 12.6983/7294 semalam.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.55/7.56 daripada 7.55/7.58 pada Khamis, tetapi turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 277.2/277.8 daripada 275.7/276.4 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan