PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

24/09/2024 09:32 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan trend meningkat untuk ditutup tinggi hari kelima berturut-turut meskipun peningkatan lebih kecil, hampir separuh daripada yang diniagakan semalam pada kontrak Disember. 

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata kontrak Disember turun di bawah paras psikologi RM4,000 semasa sesi kedua apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan prospek eksport menurun. 

Beliau berkata langkah rangsangan penting yang diumumkan oleh bank pusat China memberi kesan kepada mata wang Asia.

"Pengukuhan ringgit memberi kesan negatif kepada eksport Malaysia, menjadikan produk eksport seperti sawit mahal kepada pembeli antarabangsa.

"Ini diburukkan lagi apabila minyak sawit lebih mahal berbanding minyak kacang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM ditutup tinggi berikutan prestasi eksport yang kukuh yang mungkin menurunkan paras stok secara keseluruhan.  

"Kami mengesan paras sokongan pada RM3,900 dan sokongan pada RM4,080,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2024 naik RM25 kepada RM4,074, November 2024 menokok RM17 kepada RM4,023, manakala penanda aras Disember 2024 dan Februari 2025 masing-masing naik RM11 kepada RM3,988 dan RM3,934 satu tan.

Kontrak Januari 2025 melonjak RM10 kepada RM3,958 satu tan dan Mac 2025 menokok RM6 kepada RM3,905 satu tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 79,823 lot daripada 83,284 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 262,180 kontrak daripada 260,058 sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan kekal tidak berubah pada RM4,100 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan