PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA AKHIRI SESI DAGANGAN PAGI LEBIH RENDAH

30/09/2024 01:54 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah hari ini, sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau berikutan kebimbangan terhadap geopolitik di Timur Tengah, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.06 mata atau 0.37 peratus kepada 1,654.03 berbanding 1,660.09 semasa ditutup pada Jumaat. Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.80 mata lebih tinggi kepada 1,661.89.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 604 berbanding 399, dengan 439 kaunter tidak berubah, 1,040 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.32 bilion saham bernilai RM1.25 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan indeks petunjuk pasaran tempatan berada dalam julat antara 1,660 dan 1,670 hari ini.

“FBM KLCI terus menyaksikan konsolidasi walaupun beberapa cubaan untuk mengatasinya. Bagaimanapun, kami menjangkakan anjakan meningkat, dipacu minat belian berikutan penilaian menarik, keadaan ekonomi bertambah baik, dan pendapatan korporat yang kukuh,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada Jumaat berikutan sentimen bertukar bercampur-campur selepas beberapa siri laporan pekerjaan yang kurang memberangsangkan.

"Pelabur berharap kepada penurunan yang sederhana, dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat meredakan inflasi tanpa menjejaskan pertumbuhan dengan ketara, disokong oleh penurunan kadar 50 mata asas yang diumumkan pada mesyuarat dasar bulan ini," katanya.

Kaunter wajaran tinggi Bursa seperti Maybank naik 2.0 sen kepada RM10.52, Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.56, IHH Healthcare turun 5.0 sen kepada RM7.15 manakala CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing rendah 14 sen kepada RM8.10 dan RM14.52.

Antara kaunter aktif, Capital A menambah 4.5 sen kepada 98.5 sen, Focus Dynamics meningkat 1.0 sen kepada 3.0 sen, Pegasus tidak berubah pada setengah sen manakala Lambo Group susut setengah sen kepada setengah sen.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AT Sytematization Bhd berkata ia telah menukar namanya kepada Erdasan Group Bhd, justeru akan diniagakan dan disebut harga menerusi nama baharu itu berkuat kuasa mulai 9 pagi pada Rabu, 2 Okt 2024.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 40.11 mata kepada 12,346.49, Indeks FBMT 100 turun 38.73 mata kepada 12,049.44 dan Indeks FBM 70 berkurangan 35.68 mata kepada 17,402.80.

Indeks FBM ACE menokok 7.80 mata kepada 5,165.85 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 80.98 mata kepada 12,262.06.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 11.99 mata kepada 7,181.24 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 123.22 mata kepada 19,343.11. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula menyusut 0.49 mata kepada 176.85 dan Indeks Tenaga berkurangan 11.47 mata kepada 845.28.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan