PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

03/10/2024 08:20 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah pada Khamis berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pengukuhan mata wang itu yang didorong oleh ketidaktentuan yang memuncak dalam  geopolitik.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2185/2250 daripada dolar AS 4.1730/1790 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi ringgit secara umumnya lemah berbanding dolar AS sepanjang hari.

Mata wang yen Jepun juga lemah berbanding dolar AS berikutan prospek peningkatan kadar faedah  oleh  Bank of Japan mereda susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun yang baharu bahawa negara itu tidak bersedia dengan kenaikan kadar faedah baharu.

"Oleh itu, dalam tempoh terdekat, berlaku pembetulan teknikal dengan kadar gandingan dolar AS dan ringgit kini berada pada tahap rintangan segera RM4.2128," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi penganalisis berkata ringgit menyusut untuk tiga sesi berturut-turut, merosot 1.085 peratus kepada paras terendah sejak 19 September pada 4.2025/2105.

Beliau berkata pelabur beramai-ramai beralih kepada mata wang selamat dolar AS berikutan kebimbangan potensi peningkatan konflik serantau di Timur Tengah.

"Pada masa yang sama, data gaji swasta AS yang lebih kukuh daripada jangkaan pada Rabu menguatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan menyegerakan penurunan kadar faedah, yang seterusnya menyokong dolar AS. 

"Pelabur kini bertumpu kepada laporan gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat, yang berkemungkinan memberikan bayangan keputusan kadar faedah Fed pada masa depan," katanya. 

Dalam negara, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8711/8757 daripada 2.8931/8975 ketika ditutup pada Rabu dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.5330/5415 daripada 5.5472/5551, tetapi merosot berbanding euro kepada 4.6555/6627 daripada 4.6208/6274 semalam.

Sementara itu, prestasi mata wang tempatan itu dilihat merosot berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

 Ia menyusut daripada dolar Singapura kepada 3.2523/2575 daripada 3.2386/2436 ketika ditutup pada semalam, merosot daripada rupiah Indonesia kepada 273.4/273.9 daripada 273.2/273.8 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.50 daripada 7.43/7.44 sebelum itu.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.7270/7520 daripada 12.7350/7587 sebelum itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan