PASARAN > BERITA

DAGANGAN DI BURSA MALAYSIA DIJANGKA KEKAL BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

05/10/2024 10:06 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Dagangan berhati-hati dijangka berterusan di Bursa Malaysia minggu depan, didorong oleh prospek lemah terhadap ekonomi global berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun Hang Seng Hong Kong terus mencatatkan aliran meningkat, disokong oleh keyakinan terhadap langkah-langkah rangsangan China yang berterusan, kebanyakan pasaran sedang pesat membangun yang lain termasuk Malaysia, kekal lembap, mencerminkan sentimen global yang berhati-hati.

“Kami terus berhati-hati berhubung pandangan kami terhadap pasaran tempatan berikutan sentimen lemah buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, dengan penilaian yang rendah dan asas ekonomi yang stabil, kami menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan kekal dalam fasa konsolidasi dan dagangan jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat, menunggu peluang belian saham pada harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran dijangka menyaksikan pergerakan meningkat yang berterusan jika indeks petunjuk pasaran tempatan berjaya melepasi paras halangan utama, terutamanya purata pergerakan eksponen (EMA) 50 hari pada sekitar 1,650.

“Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,625-1,640, yang mewakili paras sokongan dan halangan,” katanya.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun terdapat kenaikan dalam pasaran China, asas ekonomi masih tidak kukuh.

“Risiko geopolitik meningkat, dengan ketegangan meruncing antara Israel dan Iran telah mengganggu pasaran global. Kebimbangan mengenai konflik itu telah mendorong harga minyak mentah Brent meningkat, memberikan sokongan kepada Indeks Tenaga Malaysia,” katanya.

Bursa tempatan diniagakan kebanyakannya rendah pada minggu baru berakhir berikutan aktiviti jualan susulan kebimbangan mengenai ketegangan di Timur Tengah, walaupun China memperkenalkan langkah-langkah rangsangan baharu. 

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 30.12 mata kepada 1,629.97 daripada 1,660.09 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 177.71 mata kepada 12,209.49, Indeks FBM Emas Shariah susut 198.83 mata kepada 12,114.21, Indeks FBMT 100 berkurangan 187.60 mata kepada 11,900.57, Indeks FBM 70 turun 170.08 mata kepada 17,268.40 dan Indeks FBM ACE merosot 48.53 mata kepada 5,109.52.

Dari segi sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.24 mata kepada 176.10, Indeks Tenaga naik 35.93 mata kepada 892.68, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 275.65 mata kepada 19,190.68 dan Indeks Perladangan merosot 7.45 mata kepada 7,185.78.

Jumlah dagangan naik kepada 16.87 bilion unit bernilai RM13.54 bilion daripada 16.61 bilion unit bernilai RM15.08 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 8.30 bilion saham bernilai RM12.11 bilion daripada 8.64 bilion saham bernilai RM13.76 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 6.46 bilion unit bernilai RM931.70 juta daripada 5.87 bilion unit bernilai RM747.19 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.10 bilion saham bernilai RM491.78 juta daripada 2.08 bilion saham bernilai RM567.43 juta sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan