PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

11/11/2024 06:59 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada hari pertama dagangan minggu ini terjejas akibat aktiviti pengambilan untung, terutamanya dalam saham Tenaga Nasional dan sektor perbankan, kata seorang penganalisis.  

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.73 peratus atau 11.98 mata, untuk ditutup kepada 1,609.26 berbanding 1,621.24 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 4.39 mata kepada 1,625.63, bergerak antara paras 1,609.24 dan 1,627.23 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 685 berbanding 357, manakala 480 kaunter tidak berubah, 885 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.67 bilion unit bernilai RM2.02 bilion berbanding 2.69 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata jualan saham hari ini dilihat sebagai peluang untuk mencari saham berharga murah dalam kalangan saham yang mengalami penurunan, terutamanya dalam saham mewah, disebabkan penilaiannya yang lebih menarik.

“Memandangkan kita semakin menghampiri penghujung tahun, kami menjangkakan beberapa aktiviti penjajaran semula portfolio dan memperelokkan akaun akan berlaku.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan melantun semula dalam tempoh terdekat dan diniagakan dalam jajaran 1,600-1,630 pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata penurunan hari ini mencerminkan reaksi pasaran terhadap pakej rangsangan terbaharu China, yang lebih kecil daripada jangkaan ditambah dengan data inflasi lebih rendah yang diumumkan pada hujung minggu.

“Faktor-faktor ini telah mencetuskan semula kebimbangan terhadap kadar pemulihan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Di pasaran tempatan, ketiadaan pemangkin kukuh dan pengumuman pendapatan korporat suku ketiga 2024 telah mencetuskan tekanan jualan di bursa,” kata Mohd Sedek.

Beliau berkata minat pelabur juga telah beralih ke arah pasaran AS, dirangsang oleh keyakinan pasca pilihan raya dan prospek ekonomi memberangsangkan yang telah menarik aliran masuk modal.

Walaupun beliau menjangkakan manfaat limpahan daripada perkembangan itu akan turut menular ke pasaran tempatan, terutamanya dalam sektor pembuatan dan teknologi, perbincangan baru-baru ini mengenai potensi tarif oleh Donald Trump dijangka menyebabkan pasaran menjadi tidak menentu. 

“Ini kerana pelabur terus berhati-hati terhadap kemungkinan ketegangan perdagangan meningkat semula dan gangguan kepada landskap ekonomi global,” kata Mohd Sedek.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MR DIY turun 4.0 sen kepada RM2.12, Petronas Chemicals susut 9.0 sen kepada RM4.84, Public Bank berkurangan 8.0 sen kepada RM4.41, Maybank turun 16.0 sen kepada RM10.34, dan Hong Leong Bank susut 26.0 sen kepada RM20.28.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Azam Jaya melonjak 31 sen kepada RM1.09, Mega Fortris susut 1.5 sen kepada 65.5 sen, Velesto turun setengah sen kepada 18.5 sen, Talam Transform naik setengah sen kepada 3.0 sen dan Cape EMS meningkat 1.0 sen kepada 37.0 sen.

Azam Jaya dan Mega Fortris memulakan dagangan sulungnya di Bursa Malaysia hari ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 85.98 mata kepada 12,179.88, Indeks FBMT 100 susut 85.37 mata kepada 11,881.09 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 56.84 mata kepada 12,174.96.

Indeks FBM 70 jatuh 116.17 mata kepada 17,749.22 dan Indeks FBM ACE merosot 18.29 mata kepada 5,126.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 195.24 mata kepada 19,061.78,  Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.08 mata kepada 171.53, Indeks Tenaga turun 1.27 mata kepada 832.81 manakala Indeks Perladangan meningkat 131.30 mata kepada 7,762.88.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion unit bernilai RM1.79 bilion berbanding 1.23 bilion unit bernilai RM1.54 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 869.43 juta unit bernilai RM91.02 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM147.77 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 358.10 juta unit bernilai RM140.47 juta berbanding 414.81 juta unit bernilai RM166.43 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 207.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (324.29 juta), pembinaan (132.50 juta), teknologi (144.27 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.80 juta), hartanah (173.49 juta), perladangan (127.54 juta), REIT (26.38 juta), dana tertutup (34,600), tenaga (119.29 juta), penjagaan kesihatan (49.54 juta), telekomunikasi dan media (11.92 juta), pengangkutan dan logistik (33.12 juta).), utiliti (32.02 juta) dan amanah perniagaan (93,200).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan