Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia gagal mengekalkan momentum belian yang dicatatkan hampir sepanjang hari dagangan untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan jualan saat-saat akhir di tengah-tengah prestasi lemah pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.83 mata untuk ditutup kepada 1,608.43 daripada paras penutup 1,609.26 pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 0.76 mata kepada 1,610.02, bergerak antara paras 1,605.43 dan 1,615.96 semasa sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 602 berbanding 413, manakala 531 kaunter tidak berubah, 858 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.54 bilion berbanding 2.67 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Isnin.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran tempatan menyaksikan tekanan jualan berterusan apabila para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati susulan kebimbangan Donald Trump akan memperkenalkan tarif baharu ke atas perdagangan asing, terutamanya yang menyasarkan China.
“Walaupun kekukuhan pasaran AS dan dolar AS berkemungkinan mencetuskan minat belian dalam pasaran tempatan terutamanya dalam sektor yang dipacu eksport, seperti teknologi dan sarung tangan, keyakinan ini memberikan prospek yang baik.
"Kekukuhan berterusan dolar AS mungkin membawa risiko pertumbuhan perlahan bagi pasaran sedang pesat membangun, dengan Malaysia berpotensi berdepan peningkatan aliran keluar asing," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpendapat jika Trump mengenakan kenaikan tarif yang tinggi, para pelabur bimbang prospek jangka sederhana boleh menjadi lebih mencabar, dengan peningkatan inflasi dan pilihan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menurunkan kadar menjadi semakin terhad.
“Disebabkan peralihan yang tidak dijangka dalam sentimen pasaran, kita mengambil pendekatan berhati-hati, memandangkan keadaan tidak menentu yang semakin meningkat.
"Kami menasihati pelabur untuk mengumpul saham mewah yang mencatatkan penjualan, mengambil kira asas kukuhnya dan harga saham yang berkurangan," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 14 sen kepada RM10.48, CIMB Group menambah empat sen kepada RM8.20, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.44, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.10, manakala IHH Healthcare susut satu sen kepada RM7.19.
Dalam kalangan kaunter cergas, Mpire Global naik 1.5 sen kepada 21.5 sen, Azam Jaya menambah 15 sen kepada RM1.24 sen dan Capital A meningkat lima sen kepada RM1.03.
Sementara itu Velesto Energy susut setengah sen setiap satu kepada 18 sen dan 3REN turun 2.5 sen kepada 41 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.17 mata kepada 12,180.05, Indeks FBMT 100 naik 4.81 mata kepada 11,885.90, Indeks FBM 70 menokok 47.30 mata kepada 17,796.53 dan Indeks FBM FBM ACE menambah 5.24 mata kepada 5,131.87. Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 27.34 mata kepada 12,147.62.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sebanyak 2.63 mata kepada 168.90, Indeks Tenaga turun 7.85 mata kepada 824.96, Indeks Perladangan menokok 117.08 mata kepada 7,879.96 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat sebanyak 82.549 mata kepada 19,144.32.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.25 bilion berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.10 bilion unit bernilai RM128.82 juta daripada 869.43 juta unit bernilai RM91.02 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 438.04 juta unit bernilai RM156.28 juta berbanding 358.10 juta unit bernilai RM140.47 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 339.89 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (3272.41 juta), pembinaan (108.86 juta), teknologi (1401.10 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.02 juta), hartanah (139.96 juta), perladangan (97.09 juta), REIT (10.18 juta), dana tertutup (18,500), tenaga (105.05 juta), penjagaan kesihatan (81.18 juta), telekomunikasi dan media (28.20 juta), pengangkutan dan logistik (29.27 juta), utiliti (35.11 juta), dan amanah perniagaan (98,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial