PASARAN > BERITA

DAGANGAN BURSA MALAYSIA DIJANGKA DALAM JULAT 1,600 HINGGA 1,610 MINGGU DEPAN

23/11/2024 10:13 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lebih kecil dalam julat 1,600 hingga 1,610 mingu depan manakala angka 1,600 itu juga kekal sebagai paras psikologi dan ambang teknikal yang memaparkan latar belakang ekonomi Malaysia yang kukuh.

Ketua Penyelidik Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun indeks itu susut di bawah paras 1,600 dalam minggu-minggu sebelumnya, perkembangan yang membabitkan usaha bagi meningkatkannya turut mencerminkan sentimen optimis dalam kalangan penggiat pasaran.

“Bagaimanapun, momentum kekal suram dengan aliran peningkatan berkemungkinan bersandarkan kepada pemangkin luaran,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga menyifatkan asas-asas ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan, didorong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, inflasi yang mampu diurus, pengangguran rendah serta prestasi perdagangan yang berdaya tahan.

“Kesemua kekuatan ini menjadi asas kukuh bagi kestabilan pasaran, namun ini masih belum dapat direalisasikan kepada momentum yang meningkat untuk pasaran ekuiti tempatan.

“Berikutan itu, trajektori bagi indeks petunjuk utama FBM KLCI dalam masa terdekat ini akan terus dipengaruhi oleh faktor-faktor global,” katanya.

Faktor itu termasuk ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan yang bersifat perlindungan oleh Presiden Donald Trump dan kesan ketegangan perdagangan AS-China yang terus ketara, katanya.

Beliau berkata perbincangan di Sidang Kemuncak Pelaburan Pemimpin Kewangan Antarabangsa juga mengunjurkan kebarangkalian kurang daripada 60 peratus bagi pelaksanaan langkah tarif yang melampau, sekali gus dapat meredakan kebimbangan ramai.

“Namun, kekurangan hala tuju dasar yang jelas dan pelantikan anggota Kabinet yang masih belum lengkap di AS telah menjejaskan keyakinan pelabur. Selagi isu ini tidak diselesaikan, pasaran ekuiti berkemungkinan kekal terdedah kepada turun naik dalam jangka pendek,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI turun 2.66 mata kepada 1,589.78 daripada 1,592.44 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas naik 5.67 mata kepada 12,110.99, Indeks FBM 70 melonjak 115.14 mata kepada 17,934.02, Indeks FBM Emas Shariah menokok 102.21 mata kepada 12,125.51, Indeks FBMT 100 menambah 8.23 mata kepada 11,814.43 manakala Indeks FBM ACE meraih 15.91 mata kepada 5,163.07.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun sebanyak 119.77 mata kepada 19,037.07, Indeks Perladangan turun 87.66 mata kepada 7,538.52 dan Indeks Teknologi susut 0.42 mata kepada 59.16.

Indeks Tenaga turun 7.05 mata kepada 820.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian sebaliknya naik 5.01 mata kepada 173.28 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 31.48 mata kepada 2,136.11.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14.54 bilion unit bernilai RM11.54 bilion berbanding 14.32 bilion unit bernilai RM12.14 bilion pada minggu sebelumnya.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 7.33 bilion saham bernilai RM10.30 bilion daripada 7.47 bilion saham bernilai RM10.84 bilion pada minggu lepas.

Waran merosot kepada 4.63 bilion unit bernilai RM566.18 juta daripada 4.81 bilion unit bernilai RM561.08 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.57 bilion saham bernilai RM669.94 juta berbanding 2.02 bilion saham bernilai RM730.34 juta pada minggu lepas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan