Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Indeks barometer Bursa Malaysia kekal positif pada tengah hari ini berikutan belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.9 mata kepada 1,604.68 daripada 1,589.78 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka tinggi 4.09 mata kepada 1,593.87, bergerak antara 1,588.46 dan 1,609.29 sepanjang sesi pagi.
Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 492 berbanding 389 manakala 456 kaunter kekal tidak berubah, 1,127 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.49 bilion unit bernilai RM1.21 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meneruskan aliran meningkat kepada lima sesi dagangan pada Jumaat lepas, dengan Dow mencapai paras tertinggi yang pernah dicatatkan pada akhir sesi dagangan.
“Sentimen pelabur didorong dengan harapan terhadap penurunan cukai korporat, pengurangan tarif, pelonggaran peraturan dan dasar monetari yang lebih akomodatif di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang baharu,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, di peringkat tempatan, katanya FBM KLCI mencatatkan kenaikan yang berkurangan dalam dagangan lewat pada Jumaat lepas tetapi masih ditutup dalam fasa positif.
“Walaupun minat belian terus kurang menggalakkan, kedudukan indeks yang hampir dengan zon terlebih jual dijangka menawarkan peluang belian semasa harga rendah.
“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan kekal dalam fasa konsolidasi dan dijangka berada dalam julat 1,585 hingga 1,610 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 18 sen kepada RM10.38, Public Bank menambah 9.0 sen kepada RM4.47, Hong Leong Bank meningkat 28 sen kepada RM20.76, IHH Healthcare menokok 6.0 sen kepada RM7.25 dan Tenaga Nasional menambah 8.0 sen kepada RM14.08.
Bagi saham aktif, CN Asia merosot 1.0 sen kepada 6.5 sen, Genetec Tech naik 6.0 sen kepada 87.5 sen, YTL Corp meningkat 12 sen kepada RM1.89 dan MyEG tidak berubah pada 91 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 13.56 mata kepada 12,139.07, Indeks FBM Emas meningkat 90.8 mata kepada 12,201.79, Indeks FBMT 100 menambah 95.13 mata kepada 11,909.56 dan Indeks FBM 70 naik 87.13 mata kepada 18,021.15, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 31.14 mata kepada 5,131.93.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.13 mata kepada 173.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 287.16 mata kepada 19,324.23, Indeks Perladangan susut 37.23 mata kepada 7,501.29 dan Indeks Tenaga naik 6.50 mata kepada 826.62.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial