Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran rendah disebabkan situasi banjir di Malaysia.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya yang tinggi di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) turut menaikkan sentimen pasaran.
“Kami mengesan paras sokongan untuk harga MSM pada RM5,050 satu tan dan paras halangan pada RM5,200 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Merujuk syarikat pemeriksaan bebas AmSpec Agri Malaysia, Ng berkata eksport minyak sawit Malaysia bagi 1 hingga 30 November merosot 10.35 peratus bulan ke bulan berikutan permintaan terhadap minyak sawit yang rendah.
Katanya data Persatuan Pengilang-pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan anggaran pengeluaran minyak sawit kilang Semenanjung Selatan untuk 1 hingga 30 November berbanding 1 hingga 31 Oktober merosot sebanyak 5.30 peratus.
“Pasaran kini menunggu anggaran pengeluaran sebulan penuh oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), yang dijangka keluar pada minggu ini atau minggu depan,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Disember 2024 meningkat RM45 kepada RM5,332 satu tan, Januari 2025 melonjak RM102 kepada RM5,278 satu tan, Februari 2025 menambah RM103 kepada RM5,135 satu tan, Mac 2025 naik RM92 kepada RM4,972 satu tan, April 2025 meningkat RM73 kepada RM4,803 satu tan dan Mei 2025 menambah RM57 kepada RM4,652 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 83,156 lot daripada 119,811 lot semalam manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 235,695 kontrak daripada 236,748 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan naik RM50 kepada RM5,400 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial