PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI, SEIRING PRESTASI PASARAN SERANTAU

19/12/2024 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada dagangan tengah hari Khamis dan menjejaki pasaran serantau susulan prestasi semalaman Wall Street yang susut.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.19 peratus atau 3.09 mata kepada 1,596.49 daripada 1,599.58. 

Indeks penanda aras itu dibuka 4.40 mata lebih rendah pada 1,595.18 dan bergerak antara 1,590.83 dan 1,598.67 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran secara meluas adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung iaitu 729 berbanding 269 manakala 444 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,030 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.80 bilion unit bernilai RM1.43 bilion. 

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun sentimen negatif turut menular ke pasaran saham tempatan, ia sebaliknya percaya saham berorientasikan eksport dalam sektor sarung tangan dan teknologi akan mendapat manfaat susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, ini berikutan prospek kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) yang memaparkan kitaran pelonggaran dasar yang lebih perlahan.

"Kami juga kekal positif terhadap saham-saham berkaitan rantaian bekalan pusat data. Segmen sub-utiliti dan bahan binaan juga dijangka didagangkan lebih positif, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat," katanya menerusi nota penyelidikannya hari ini. 

Merujuk aspek teknikal, firma pembrokeran itu berkata paras rintangan dijangka sekitar 1,614 hingga 1,619 mata manakala sokongan ditetapkan pada 1,579 hingga 1,584.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Nestle susut RM3.22 kepada RM95.78, Petronas Chemicals turun 9.0 sen kepada RM4.72, MISC kehilangan 14 sen kepada RM7.36, IOI Corporation merosot 8.0 sen kepada RM3.78, PPB susut 34 sen kepada RM11.78 dan Maybank turun 4.0 sen kepada RM10.08. 

Bagi saham paling aktif, Winstar Capital yang disenaraikan buat kali pertama di Pasaran ACE naik 16 sen kepada 51 sen, YTL Corporation untung 21 sen kepada RM2.35, Supermax menokok 2.0 sen kepada RM1.24, Top Glove meraih 1.0 sen kepada RM1.39 dan YTL Power International menambah 24 sen kepada RM3.90.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah merosot 84.76 mata kepada 12,237.73, Indeks FBM Emas turun 33.76 mata kepada 12,247.03 dan Indeks FBMT 100 merosot 27.83 mata kepada 11,937.59.

Indeks FBM 70 berkurangan 60.23 mata kepada 18,389.40 manakala Indeks FBM ACE turun 32.12 mata kepada 5,214.32.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.90 mata kepada 170.59, Indeks Tenaga turun 7.38 mata kepada 807.93, Indeks Perladangan menguncup 61.63 mata kepada 7,571.13 dan dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 26.93 mata kepada 18,869.25.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan