Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup bercampur-campur pada Jumaat, disokong oleh prestasi negara serantau yang bertindak balas terhadap prospek ekonomi China yang positif, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran juga dibantu oleh gangguan bekalan getah asli disebabkan kesan cuaca buruk di Thailand dan Malaysia.
“Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh dagangan yang lengang disebabkan cuti akhir tahun, di samping konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama.
Bank Dunia pada Selasa meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi China, menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 4.9 peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada 2025.
Peniaga itu juga berkata pengeluaran getah di Thailand dijangka turun mendadak pada Disember susulan hujan lebat melanda 11 kawasan di wilayah selatan, kawasan perladangan getah utama yang menyumbang 80 peratus atau 4.8 juta tan jumlah pengeluaran getah tahunan negara itu.
Menurut Lembaga Getah Malaysia, harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 meningkat 4.5 sen kepada 875.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun empat sen kepada 699.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga SMR 20 ialah 876.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal 696.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial