KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini, didorong oleh jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi diterajui oleh kaunter utiliti dan perkhidmatan kewangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 19.39 mata kepada 1,583.02 daripada 1,602.41 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 3.45 mata kepada 1,598.96, bergerak antara 1,582.01 dan 1,599.36 pada sesi tersebut.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 886 berbanding 179, dengan 356 kaunter tidak berubah, 948 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.79 bilion saham bernilai RM1.22 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, peniaga dijangka memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas berikutan lonjakan harga minyak mentah Brent dan saham berorientasikan eksport yang berpotensi mendapat manfaat daripada pengukuhan dolar AS, yang kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.
“Bagaimanapun, kenaikan saham teknologi dijangka terhad berikutan pengumuman sekatan lanjut oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip kecerdasan buatan ke Malaysia.
“Bagaimanapun, kami percaya pelaburan domestik dijangka mendominasi dalam masa terdekat menjelang majlis pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS pada 20 Januari,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Katanya perkembangan penting yang perlu diberi perhatian termasuklah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, projek transit aliran ringan yang sedang dilaksanakan di Pulau Pinang dan potensi Sarawak sebagai hab tenaga.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank mendatar pada RM10.10, CIMB berkurangan 18 sen kepada RM8.00, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.43 dan Tenaga susut 30 sen kepada RM13.80 manakala IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.10.
Bagi saham aktif, Key Alliance dan Velocity Capital, masing-masing merosot setengah sen kepada 0.5 sen dan lapan sen, Swift Energy berkurangan dua sen kepada 36.5 sen dan JCY International susut empat sen kepada 49 sen. Velesto Energy mendatar pada 16 sen.
Indeks FBM Emas merosot 150.14 mata kepada 12,152.62, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 152.86 mata kepada 12,097.88 dan Indeks FBMT 100 susut 144.76 mata kepada 11,839.08.
Indeks FBM 70 jatuh 222.36 mata kepada 18,245.17 manakala Indeks FBM ACE merosot 98.04 mata kepada 5,255.43.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 3.86 mata kepada 829.44, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 133.52 mata kepada 18,791.02, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.39 mata kepada 168.27 dan Indeks Perladangan turun 58.99 mata kepada 7,451.63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial