KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kerugian pada sesi awal dagangan hari ini dengan ditutup tinggi pada sesi pagi berikutan peningkatan belian dalam kaunter wajaran tinggi utiliti dan perkhidmatan kewangan terpilih.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.35 mata kepada 1,562.89 daripada 1,555.54 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.11 mata lebih rendah pada 1,553.43 dan turun naik antara 1,545.67 dan 1,563.36 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran, bagaimanapun kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 518 berbanding 350, manakala 461 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion unit, bernilai RM91.55 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata tuntutan pengangguran yang lebih tinggi daripada jangkaan serta jualan runcit dan teras runcit yang lemah daripada jangkaan mencetuskan ketidakstabilan pasaran dan menyumbang kepada tekanan jualan di Wall Street.
Meskipun prestasi semalaman AS adalah negatif, ia boleh mencetuskan aktiviti pembelian saham pada harga rendah dalam pasaran domestik kerana saham-saham telah dijual pada paras terlebih jual, katanya.
“Kami melihat peluang ini dalam sektor tenaga, yang boleh mendapat manfaat daripada lonjakan minyak mentah Brent, manakala saham teknologi juga mungkin menarik minat memandangkan persekitaran dolar AS yang tinggi.
“Sementara itu, kemajuan projek transit aliran ringan Pulau Pinang dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura mungkin meningkatkan sektor pembinaan dan hartanah dalam tempoh pendek hingga sederhana," kata firma sekuriti itu dalam satu nota hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM10.16, CIMB dan IHH masing-masing naik satu sen kepada RM8.00 dan RM7.12, Public Bank melonjak lima sen kepada RM4.44 dan Tenaga meningkat 44 sen kepada RM13.56.
Daripada saham aktif, Gamuda susut 13 sen kepada RM4.13, CBH Engineering turun 1.5 sen kepada 32 sen, SNS Network turun dua sen kepada 52.5 sen, manakala Velocity Capital tidak berubah pada lapan sen. TWL Holdings meningkat setengah sen kepada tiga sen.
Bagi keseluruhan indeks, Indeks FBM Emas menokok 38.08 mata kepada 11,963.13, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 32.68 mata kepada 11,795.38, dan Indeks FBMT 100 memperoleh 39.56 mata kepada 11,654.45.
Indeks FBM 70 naik 3.49 mata kepada 17,834.01, tetapi Indeks FBM ACE susut 40.57 mata kepada 5,118.37.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 0.01 mat kepada 831.47, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 82.24 mata kepada 18,817.57, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.43 mata kepada 165.78, dan Indeks Perladangan susut 13.27 mata kepada 7,323.11.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial