PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM JANGKA PENGAMBILAN UNTUNG MINGGU DEPAN

18/01/2025 10:30 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan pengambilan untung pada minggu depan.

Ini berikutan tindakan peniaga mengurangkan penglibatan mereka menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, menurut peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh.

“Bagaimanapun, penurunan berkemungkinan adalah terhad disebabkan sokongan pembelian dari India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

"Minggu depan dijangka menjadi tempoh urus niaga yang tenang untuk pasaran niaga hadapan MSM, dengan harga berkemungkinan berlegar antara RM4,100 dan RM4,200 setan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng mengunjurkan pasaran MSM akan diniagakan dalam julat RM4,100 hingga RM4,350 setan, mengekalkan kecenderungan menaik sedikit disebabkan asas-asas pasaran yang kukuh.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Februari 2025 merosot RM110 kepada RM4,441 setan, manakala kontrak Mac 2025 turun RM111 kepada RM4,280 setan, dan kontrak April 2025 susut RM95 kepada RM4,190 setan.

Kontrak Mei 2025 turun RM87 kepada RM4,122 setan, kontrak Jun 2025 susut RM79 kepada RM4,167 setan, dan kontrak Julai 2025 kekal tidak berubah kepada RM4,070 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 445,885 lot daripada 444,410 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 223,575 kontrak pada Jumaat, berbanding 229,080 kontrak seminggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan turun sebanyak RM110 kepada RM4,650 setan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan