PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH AKIBAT DAGANGAN LENGANG

27/01/2025 07:38 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup dalam wilayah negatif hari ini disebabkan dagangan lemah yang disaksikan di seluruh papan menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina (CNY), kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 14.76 mata atau 0.94 peratus, berakhir di paras terendah dalam sehari pada 1,558.97 berbanding penutupan 1,573.73 yang dicatatkan pada Jumaat sebelum ini.

Indeks penanda aras dibuka rendah sebanyak 0.42 mata pada paras tertinggi hariannya pada 1,573.31 dan bergerak dalam aliran menurun ketika menuju penutupan.

Keluasan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung  sebanyak 782 berbanding 235, 415 kaunter tidak berubah, 916 tidak diniagakan dan 60 digantung.

Jumlah dagangan mengecil kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 3.0 bilion unit bernilai RM3.06 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata jumlah dagangan yang tipis hari ini menunjukkan para pelabur sedang berundur dari pasaran disebabkan mereka sedang menunggu pemangkin pasaran yang lebih mantap.

FBM KLCI mempamerkan prestasi bercampur-campur dengan prestasi saham perbankan berprestasi cemerlang, menandakan pusingan peralihan kepada sektor berorientasikan nilai apabila pelabur meletakkan semula portfolio mereka di tengah-tengah latar belakang makroekonomi yang mencabar.

“Sebaliknya, tekanan jualan yang berterusan yang dialami saham-saham utiliti menyerlahkan ketidakyakinan dalam langkah defensif, terutamanya yang dianggap terlebih nilai dalam persekitaran kadar faedah semasa.  

“Melihat ke hadapan, kami menjangkakan aktiviti pasaran akan kekal lengang minggu ini disebabkan para pelabur mungkin mengambil sikap berhati-hati dalam menjangkakan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada 28-29 Januari ini,” katanya kepada Bernama.

 Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.36, Tenaga Nasional turun 32 sen kepada RM13.44, manakala CIMB naik dua sen kepada RM8.03, Public Bank menokok lima sen kepada RM4.38 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.23.

Di kaunter aktif pula, YTL Corp merosot 19 sen hingga RM1.93, Myeg berkurangan sebanyak 2.5 sen kepada 93.5 sen, YTL Power jatuh 39 sen kepada RM3.22, CBH Engineering turun tiga sen kepada 32.5 sen, dan Gamuda menurun 13 sen kepada RM4.06.

Di pasaran yang lebih luas, indeks FBM EMAS Shariah lemah 138.25 mata kepada 11,897.34, indeks FBMT 100 jatuh 129.25 mata kepada 11,596.27, indeks FBM meleret 185.09 mata kepada 11,729.79.

Indeks FBM ACE menurun 93.12 mata kepada 5,117.41, manakala indeks FBM 70 merosot sebanyak 269.09 mata kepada 17,637.26.

Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.07 mata kepada 18,929.56 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.23 mata kepada 165.46, Indeks Perladangan pula melemah sebanyak 105.91 mata kepada 7,313.54 dan Indeks Tenaga hilang 13.76 mata kepada 824.30.

Jumlah dagangan Pasaran Utama dipangkas kepada 1.31 bilion unit bernilai RM2.08 bilion berbanding 1.36 bilion unit bernilai RM2.72 bilion yang disaksikan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 954.50 juta unit bernilai RM88.82 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM108.61 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 495.71 juta unit bernilai RM202.23 juta berbanding 538.96 juta unit bernilai RM228.46 juta yang direkodkan pada minggu lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 148.81 juta saham yang didagangkan di pasaran utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (255.14 juta), pembinaan (121.38 juta), teknologi (201.48 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.24 juta) , hartanah (177.60 juta), perladangan (19.50 juta), REIT (10.74 juta), dana tertutup (39,900), tenaga (104.81 juta), penjagaan kesihatan (44.91 juta), telekomunikasi dan media (14.39 juta) ), pengangkutan serta logistik (19.45 juta), utiliti (149.81 juta) dan amanah perniagaan (15,100).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan