PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SUSULAN JUALAN BERTERUSAN

28/01/2025 07:17 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan dagangan lemahnya untuk ditutup rendah hari ini susulan jualan yang berterusan apabila pasaran dipengaruhi oleh reaksi negatif Wall Street terhadap pengenalan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek oleh China, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.28 mata atau 0.4 peratus untuk ditutup kepada 1,552.69 berbanding paras penutup 1,558.97 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 1.53 mata kepada 1,557.44 -- paras tertingginya pada hari ini dan bergerak ke paras rendah 1,544.87 semasa sesi pagi.

Suasana pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 537 berbanding 372, dengan 466 kaunter tidak berubah, 924 tidak diniagakan dan 37 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.19 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 2.76 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Isnin.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, walaupun kejayaan DeepSeek boleh dilihat sebagai perkembangan positif untuk sektor AI, namun ia sebaliknya meningkatkan kebimbangan pelabur.

Kegelisahan dalam pasaran global telah meningkatkan tekanan jualan ke atas FBM KLCI, yang mengalami kekangan sejak Khamis minggu lepas, katanya.

"Dalam indeks utama, hanya segelintir kaunter sahaja yang berjaya mencatatkan keuntungan. Saham utiliti terus berada di bawah tekanan jualan, manakala kaunter yang berkait dengan AI dan pusat data terus mencatatkan penurunan.

"Namun, di sebalik cabaran jangka pendek ini, pasaran ekuiti Malaysia masih berpotensi besar bagi pertumbuhan jangka panjang," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata ketika firma global menilai semula strategi perbelanjaan modal mereka, industri pusat data Malaysia berkedudukan baik untuk mendapat manfaat daripadanya berikutan tawaran yang menjimatkan kos.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM10.24, CIMB susut sembilan sen kepada RM7.94, Public Bank jatuh satu sen kepada RM4.37, IHH Healthcare berkurangan lapan sen kepada RM7.15 manakala Tenaga Nasional naik 16 sen kepada RM13.60.

Dalam kalangan saham cergas, YTL Power susut 11 sen kepada RM3.11, Nationgate turun sembilan sen kepada RM1.79, YTL Corp dan Gamuda berkurangan tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM1.90 dan RM4.03, manakala Oriental Kopi naik dua sen kepada 84.5 sen.

Di keseluruhan pasaran, Indeks FBM Emas susut 54.48 mata kepada 11,842.86, Indeks FBMT 100 jatuh 55.08 mata kepada 11,541.19 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 35.29 mata kepada 11,694.50.

Indeks FBM 70 menyusut 115.25 mata kepada 17,522.01 manakala Indeks FBM ACE meningkat 28.29 mata kepada 5,145.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot sebanyak 137.45 mata kepada 18,792.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.45 mata kepada 165.01 dan Indeks Tenaga turun 1.82 mata kepada 822.48.

Indeks Perladangan menokok 80.97 mata kepada 7,394.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.10 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM2.08 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 772.76 juta unit bernilai RM69.38 juta daripada 954.50 juta unit bernilai RM88.82 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 302.93 juta unit bernilai RM139.83 juta daripada 495.71 juta unit bernilai RM202.23 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 144.05 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (212.48 juta), pembinaan (98.32 juta), teknologi (109.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (36.28 juta), hartanah (133.81 juta), perladangan (12.17 juta), REIT (10.76 juta), dana tertutup (22,700), tenaga (119.38 juta), penjagaan kesihatan (26.53 juta), telekomunikasi dan media (20.97 juta), pengangkutan dan logistik (18.02 juta), utiliti (161.74 juta) dan amanah perniagaan (86,000).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 29 hingga 30 Jan sempena cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina (CNY).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan