Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka kekal tidak menentu minggu depan selepas menerima penunjuk bercampur-campur dari pasaran serantau dan kebimbangan terhadap kekangan bekalan, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia.
Harga getah mungkin akan terjejas dengan bekalan getah asli yang agak terhad disebabkan musim dingin dan hujan, selain usaha pemain pasaran yang sedang menjejaki pergerakan niaga hadapan getah serantau serta pertukaran asing.
“Terdapat banyak kebimbangan yang berkaitan dengan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan hubungan perdagangan AS-China, ditambah pula dengan rundingan damai Rusia-Ukraine, yang boleh menyebabkan ketidakstabilan di pasaran niaga hadapan getah serantau serta harga minyak mentah,” kata persatuan itu kepada Bernama.
Sementara itu, pakar industri Denis Low meramalkan pasaran getah akan diniagakan lebih tinggi minggu depan susulan aktiviti pengumpulan inventori di tengah-tengah keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Perubahan iklim dan turun naik suhu akan menganggu pengeluaran getah sehingga menyebabkan harga naik. Satu lagi faktor penyumbang kepada pengeluaran yang lebih perlahan ialah kedatangan bulan Ramadan, yang mana aktiviti menoreh mungkin berkurangan.
“Oleh itu, kami menjangkakan aktiviti stok yang lebih tinggi sebelum bekalan mula terjejas,” katanya.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 jatuh 6.5 sen kepada 914.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah 16.5 sen kepada 712.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial