Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS untuk hari kelima berturut-turut berikutan ketidaktentuan mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang mendorong peniaga dan pelabur mengelak aset yang lebih berisiko, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan terus meningkat kepada 4.4185/4315 berbanding dolar AS daripada 4.4230/4270 semalam.
Pada Khamis, Presiden Donald Trump menandatangani tindakan eksekutif menangguhkan tarif selama hampir sebulan ke atas kebanyakan produk dari Mexico dan Kanada yang berada di bawah perjanjian perdagangan bebas Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA).
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata langkah itu meredakan ketegangan perdagangan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan sentimen pelabur terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.
“Selain itu, defisit perdagangan AS meningkat kepada paras tertinggi pada Januari berikutan perniagaan meningkatkan import lebih awal sebagai persediaan menghadapi kenaikan tarif, yang boleh menjejaskan lagi ketidakseimbangan luaran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata retorik baharu Trump yang melabel Kanada dan India sebagai ‘negara bertarif tinggi’ menunjukkan ketidaktentuan dasar perdagangan yang berterusan, yang boleh menyebabkan turun naik dalam pasaran global.
“Dari aspek strategik, kelegaan sementara dalam ketegangan perdagangan menyokong prospek yang lebih positif untuk ringgit dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat berhati-hati mengenai ekonomi global tetapi cenderung untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam masa terdekat.
“Dari perspektif teknikal, USD/MYR berada dalam julat neutral, menunjukkan ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini, berkemungkinan pada sekitar RM4.42 hingga RM4.43,” katanya.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9833/9922 daripada 2.9940/9969 semalam, naik berbanding pound kepada 5.6919/7087 daripada 5.6964/7015 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7662/7803 daripada 4.7773/7816.
Mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 270.4/271.3 daripada 270.6/271.0 semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0880/1424 daripada 13.0939/1124 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3147/3247 daripada 3.3186/3218.
Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial