Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meneruskan penyusutan hari ini ketika pasaran getah serantau mengalami isyarat bercampur-campur memandangkan perubahan dasar tarif mencetuskan ketidaktentuan dan meningkatkan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.
Menurutnya sentimen pasaran turut dijejaskan oleh data ekonomi China yang lembap dan ketegangan perdagangan AS-China yang meningkat.
"Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan terhadap bekalan getah berikutan musim daun pokok getah luruh di negara pengeluar getah asli dan harga minyak mentah yang stabil," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata eksport China untuk tempoh Januari hingga Februari meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun dari segi nilai manakala import menurun pada kadar tidak dijangka iaitu 8.4 peratus, dipacu oleh penurunan import yang lebih besar berbanding jangkaan berikutan tarif perdagangan AS dan permintaan domestik yang lemah.
Sementara itu, harga minyak kekal stabil hari ini, bergerak menghampiri paras terendah tahun ini memandangkan perubahan dasar tarif AS dan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan memberikan tekanan ke atas pasaran.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 menyusut lima sen kepada 899.50 sen sekilogram pada 3 petang manakala lateks pukal merosot dua sen kepada 708.00 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial