PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JAJARAN KECIL MINGGU DEPAN

15/03/2025 10:23 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

 

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila peserta pasaran dijangka mengambil pendekatan berhati-hati dan bukan senaliknya memberi reaksi spontan, yang sepatutnya membantu mengehadkan pergerakan turun naik jangka pendek.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata minggu depan pasaran akan menyaksikan tempoh dagangan singkat susulan cuti umum Nuzul Al-Quran pada Selasa.

Memandangkan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) hanya akan dikeluarkan selepas waktu pasaran tempatan pada Isnin, reaksi Bursa Malaysia akan tertangguh sehingga Rabu.

‘Reaksi lewat ini boleh membawa kesan stabil, menyediakan lebih banyak masa kepada pelabur untuk menilai reaksi Wall Street dan menyesuaikan strategi mereka dengan sewajarnya,” katanya kepada Bernama.

Pada masa depan, Mohd Sedek berkata walaupun pasaran mungkin mencatatkan lantunan semula susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini, sentimen pelabur dijangka kekal berhati-hati berikutan risiko berterusan daripada pengumuman tarif perdagangan Presiden AS Donald Trump.

Walaupun terdapat petanda inflasi yang berkurangan, beliau berkata data jualan runcit Februari China dan AS - yang dijadual dikeluarkan pada Isnin - akan dipantau rapat untuk mendapatkan gambaran tentang trend perbelanjaan pengguna dan daya tahan ekonomi.

Acara utama global pada minggu depan adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS pada 19-20 Mac.

"Walaupun penurunan kadar tidak dijangkakan, Fed dijangka mengemas kini Ringkasan Unjuran Ekonominya, termasuk 'data’ terkini, yang menunjukkan jangkaan penggubal dasar bagi pergerakan kadar pada masa depan," katanya.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir ini, FBMKLCI turun sebanyak 2.16 peratus, mencerminkan kelemahan pasaran apabila aktiviti dagangan dipengaruhi penjualan besar-besaran di Wall Street yang menyaksikan FBMKLCI mencatatkan penurunan mendadak. 

Bagaimanapun, apabila saham mencapai tahap terlebih jual, aktiviti membeli saham berharga rendah telah membantu menstabilkan pasaran dan seterusnya mengehadkan lagi penurunan.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, indeks utama turun 35.12 mata kepada 1,512.15 berbanding 1,547.27 pada seminggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 220.66 mata kepada 11,300.14, Indeks FBMT 100 merosot 225.72 mata kepada 11,069.83, Indeks FBM Emas Shariah turun 190.37 mata kepada 10,989.58, Indeks FBM 2070 berkurangan 204.0 mata kepada 16,138.47, bagaimanapun Indeks ACE FBM meningkat 89.89 mata kepada 4,677.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.50 mata kepada 153.73, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 543.86 mata kepada 18,522.82, dan Indeks Perladangan berkurangan 110.33 mata kepada 7,369.75. Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 3.69 mata kepada 718.73.

Jumlah dagangan meningkat kepada 16.40 bilion unit bernilai RM14.47 bilion daripada 15.56 bilion unit bernilai RM13.32 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 8.96 bilion unit bernilai RM13.18 bilion daripada 8.40 bilion unit bernilai RM12.10 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 5.45 bilion unit bernilai RM622.41 juta daripada 5.14 bilion unit bernilai RM570.74 juta. 

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.97 bilion unit bernilai RM667.75 juta daripada 2.0 bilion unit bernilai RM647.06 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan