MELAKA, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap satu kata putus segera dapat diambil berhubung projek naik taraf sistem saliran padang dan penukaran rumput di Stadium Hang Jebat bagi mengelakkan kelewatan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata kerajaan tidak mahu sebarang pembangunan sukan tertangguh sehingga menjadi "projek sakit" dan akhirnya memaksa bantuan geran RM500,000 yang disalurkan ditarik semula.
"Kita hendak pastikan peruntukan geran RM500,000 oleh kerajaan pusat yang disalurkan kepada kerajaan negeri dimanfaatkan dengan sebaiknya.
"Peruntukan ini dikhususkan untuk menaik taraf sistem saliran padang dan penukaran rumput kepada jenis rumput bilah halus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rakan Muda Ramadan Negeri Melaka 2025 di Masjid Al Ehsan Bukit Baru, di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa siri perbincangan telah dilakukan melibatkan Jabatan Belia dan Sukan negeri serta pihak berkepentingan dan menggesa semua pihak agar mencapai penyelesaian segera secepat mungkin.
"Kita akui kos penggantian rumput seperti disarankan sebelum ini telah meningkat dan melebihi keupayaan bajet pengurusan stadium, jadi kita beri kelonggaran sama ada selesaikan dahulu masalah sistem saliran padang kemudian baru memilih jenis rumput lain, selagi ia masih dalam kategori yang dibenarkan," katanya.
Adam Adli berkata pihak yang terlibat dengan projek itu boleh menjadikan rumput hibrid, seperti yang digunakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang atau di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Selangor, sebagai antara pilihan kerana kosnya lebih rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial