PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA KEKAL RENDAH PADA TENGAH HARI, BERBEZA DENGAN TREND SERANTAU

19/03/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan prestasi berbeza dengan trend serantau apabila mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, dengan jualan yang kebanyakannya dalam kalangan saham wajaran tinggi diterajui kaunter perkhidmatan kewangan dan pembinaan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.85 mata kepada 1,517.96 daripada 1,527.81 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 14.52 mata kepada 1,513.29 dan bergerak antara 1,512.21 dan 1,523.39 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 435 berbanding 364 manakala 420 kaunter tidak berubah, 1,217 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.97 bilion saham bernilai RM1.36 bilion.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam bersempena dengan cuti umum Nuzul Al-Quran.

Peniaga berkata bursa tempatan kekal rendah sejak sesi pembukaan dagangan hari ini, dengan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih mempengaruhi indeks barometer.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan bursa utama di Asia menunjukkan aliran meningkat walaupun terdapat pengumuman mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mac selepas mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), dengan Fed dijangka mengekalkan kadar faedahnya.

Sementara itu, saham AS menyusut dengan ketara pada Selasa apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang keputusan dasar monetari Fed di samping turut menilai potensi kesan dasar tarif Presiden Donald Trump, katanya.

“Selain itu, pelabur mungkin mempertimbangkan tawaran awam permulaan Hi Mobility Bhd yang dijangka meraih manfaat daripada inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, bermulanya perkhidmatan BAS.My di Melaka dan kontrak Rapid KL yang diperoleh tahun lepas,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM10.38, dan CIMB susut 31 sen kepada RM6.94. Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing meningkat satu sen kepada RM4.55 dan RM7.10 manakala Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.58.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok setengah sen kepada lima sen, Pertama Digital menambah 5.5 sen kepada 16.5 sen, Sedania menokok 3.5 sen kepada 12.5 sen dan NationGate meningkat tiga sen kepada RM1.38.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 64.72 mata kepada 11,359.76, Indeks FBMT 100 rendah 70.06 mata kepada 11,117.74, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 36.62 mata kepada 11,047.38.

Indeks FBM 70 susut 94.05 mata kepada 16,229.70 dan Indeks FBM ACE berkurangan 3.76 mata kepada 4,687.39.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian masing-masing menyusut 0.41 mata kepada 154.65 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 168.15 mata kepada 18,627.99 manakala Indeks Tenaga naik 5.91 mata kepada 741.27 dan Indeks Perladangan meningkat 3.82 mata kepada 7,420.07

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan