PASARAN > BERITA

KONTRAK HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA DINIAGAKAN SECARA BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

22/03/2025 10:32 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan secara berhati-hati minggu depan berikutan ketidakpastian global.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam julat antara 1,500 hingga 1,530 pada minggu akan datang.

“Bagi bursa tempatan, kami kekal dengan pandangan berhati-hati berikutan ketidakpastian makroekonomi, terutama dengan kemungkinan perang perdagangan yang semakin meningkat.

“Walaupun wujud ketidakpastian jangka masa pendek, kami tetap yakin dengan prospek jangka masa panjang, disokong oleh penilaian yang menarik, pendapatan kukuh, dan daya tahan ekonomi tempatan,” katanya kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Mac 2025 susut 1.5 mata kepada 1,500.0 manakala April 2025, Jun 2025 dan September 2025 masing-masing berkurangan 7.0 mata kepada 1,502.5, 1,505.0 dan 1,492.0.

Jumlah dagangan susut kepada 38,704 lot daripada 60,103 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 54,340 kontrak daripada 49,602 kontrak sebelumnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 6.70 mata kepada 1,505.45 daripada 1,512.15 minggu lepas.

Operasi Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Selasa 18 Mac sempena cuti umum Nuzul al-Quran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan