Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Ringgit dijangka didagangkan dalam julat 4.42 hingga 4.45 berbanding dolar US minggu depan dengan turun naik jangka pendek bergantung kepada dinamik pasaran yang lebih luas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata trajektori ringgit akan dibentuk oleh faktor luaran khususnya dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), prospek ekonomi China dan sentimen risiko global.
“AS dijadual melaksanakan tarif timbal balik pada 2 April depan, ketidaktentuan berterusan dan sebarang kemerosotan dalam selera risiko boleh mendorong aliran masuk ke aset selamat seperti dolar US yang berpotensi mengehadkan keuntungan ringgit selanjutnya,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Mohd Sedek berkata harga minyak yang lebih tinggi, disokong oleh sekatan AS ke atas eksport minyak mentah Iran dan penurunan pengeluaran OPEC+, boleh menyebabkan boleh menjejaskan ringgit, memandangkan status Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih.
Selain itu, pemulihan berterusan dalam ekonomi China boleh meningkatkan sentimen serantau dan sektor eksport Malaysia seterusnya menyokong mata wang itu.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar US kepada 4.4180/4220 daripada 4.4410/4555 minggu lepas.
Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9574/9602 daripada 2.9809/9842 minggu lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.7151/7203 daripada 5.7404/7463 dan menokok berbanding euro kepada 4.7843/7886 daripada 4.8194/8243 sebelum itu.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.3081/3114 daripada 3.3241/3277, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0436/0608 daripada 13.1820/2020, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 267.7/268.0 daripada 271.6/272.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.71 daripada 7.75/7.77 minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial