PASARAN > BERITA

MINAT TERHADAP SAHAM MEWAH DORONG FBM KLCI DITUTUP TINGGI

21/03/2025 07:14 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh minat belian baharu terhadap saham mewah, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.29 mata kepada 1,505.45 daripada 1,504.16 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.29 mata lebih rendah kepada 1,503.87 dan bergerak antara 1,503.71 hingga 1,513.23 sepanjang hari.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 513 berbanding 371 manakala 428 kaunter tidak berubah, 1,125 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.43 bilion unit bernilai RM4.28 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata minat belian didapati muncul dalam sektor bersifat defensif seperti utiliti, penjagaan kesihatan dan perbankan semasa sesi pagi.

“Pada sebelah petang, saham pengguna mendahului kenaikan selepas data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari yang dikeluarkan menunjukkan kadar inflasi keseluruhan yang rendah berbanding bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Inflasi Malaysia meningkat pada kadar yang lebih perlahan 1.5 peratus pada Februari 2025, dengan indeks berada pada 134.1 mata berbanding 132.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mod Sedek berkata selain itu, saham berkaitan minyak dan gas menunjukkan potensi kenaikan, didorong oleh prospek permintaan yang kukuh selepas data kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan pengeluaran inventori sulingan minyak yang jauh lebih besar daripada jangkaan.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.49, TNB meningkat enam sen kepada RM13.56, CIMB naik lima sen kepada RM6.85, IHH Healthcare melonjak 13 sen kepada RM6.90, Hong Leong Bank menambah lapan sen kepada RM20.48, Maybank kekal pada RM10.18, dan Press Metal susut tiga sen kepada RM4.98.

Antara saham aktif, IJM Corp meningkat empat sen kepada RM2.04, MY E.G. kekal pada 92 sen, Tanco kurang dua sen kepada RM1.86, manakala Nationgate dan Pavilion Real Estate Investment Trust masing-masing susut empat sen kepada RM1.38 dan RM1.44.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 4.42 mata kepada 11,305.79, Indeks FBMT 100 menokok 9.55 mata kepada 11,061.38, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 0.35 mata kepada 11,027.17.

Indeks FBM 70 naik 14.55 mata kepada 16,288.07 dan Indeks FBM ACE meningkat 45.93 mata kepada 4,824.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 34.53 mata kepada 18,439.83, Indeks Tenaga menambah 1.50 mata kepada 751.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.73 mata kepada 153.43, dan Indeks Perladangan turun 1.56 mata kepada 7,449.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.69 bilion unit bernilai RM3.91 bilion daripada 1.55 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.35 bilion unit bernilai RM195.94 juta daripada 1.39 bilion unit bernilai RM194.65 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.35 bilion unit bernilai RM195.94 juta daripada 323.95 juta unit bernilai RM93.78 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 269.73 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (288.39 juta), pembinaan (133.19 juta), teknologi (174.40 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (130.88 juta), hartanah (180.60 juta), perladangan (34.81 juta), REIT (70.40 juta), dana tertutup (46,700), tenaga (120.70 juta), penjagaan kesihatan (83.89 juta), telekomunikasi dan media (73.31 juta), pengangkutan dan logistik (30.06 juta), utiliti (100.91 juta), dan amanah perniagaan (37,200).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan