PASARAN > BERITA

JANGKAAN TINDAK BALAS TARIF, RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

24/03/2025 08:30 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika kebimbangan mengenai tindak balas terhadap tarif yang dijangka berkuat kuasa pada 2 April yang hanya menjadikan pelabur lebih berhati-hati.

Pada 6 petang, ringgit di paras 4.4325/4370 berbanding dolar AS daripada 4.4180/4220 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang memetik Laporan Tahunan 2024 Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan hari ini, berkata sasaran utama makroekonomi bagi 2025 kekal tidak berubah.

Beliau juga menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5-5.5 peratus manakala kadar inflasi pada 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.

"Ini menunjukkan penilaian ekonomi tidak menyimpang secara material walaupun terdapat prospek mencabar berikutan langkah mengenakan tarif," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan kadar dasar semalaman kekal pada 3.00 peratus yang akan menyaksikan perbezaan kadar faedah dengan kadar AS akan terus mengecil.

“Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengurangkan Kadar Dana Rizab Persekutuan sebanyak dua kali pada tahun ini berdasarkan unjuran terkini oleh pegawainya.

“Ini sepatutnya memberi sokongan kepada ringgit, iaitu berkemungkinan pada separuh kedua tahun ini apabila terdapat lebih banyak kejelasan mengenai dasar AS," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.8039/8088 daripada 4.7843/7886 pada akhir urus niaga Jumaat lepas namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7441/7499 daripada 5.7151/7203 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9631/9663 daripada 2.9574/9602.  

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN, termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3148/3184 daripada 3.3081/3114, sebelum ini.

Ringgit juga turun berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.70/7.71 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0849/1043 daripada 13.0436/0608.

Namun, berbanding rupiah Indonesia, ringgit mengukuh kepada 267.5/267.9 daripada 267.7/268.0 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan