KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah dalam dagangan awal hari ini, mengambil petunjuk daripada penurunan semalaman Wall Street, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.47 mata kepada 1,514.58 daripada 1,518.05 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 4.97 mata kepada 1,513.08.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 206 berbanding 101, dengan 235 kaunter tidak berubah, 1,927 tidak diniagakan dan 160 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 117.20 juta saham bernilai RM70.70 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah semalaman berikutan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersedia untuk mengumumkan tarif baharu ke atas import automotif ke AS, meningkatkan ketegangan perdagangan global yang dicetuskannya pada awal tahun ini.
“Ketiga-tiga indeks utama ditutup dalam julat negatif, dengan Dow Jones Industrial Average dan Nasdaq, masing-masing merosot 0.31 peratus dan 2.04 peratus manakala S&P 500 susut 1.12 peratus,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sebaliknya, kebanyakan pasaran utama Asia ditutup tinggi, disokong oleh kenaikan dalam saham minyak dan gas, teknologi serta kenderaan elektrik (EV).
Dalam negara, Thong berkata FBM KLCI meneruskan momentum kenaikannya, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham wajaran tinggi terpilih berikutan penilaian yang menarik.
“Kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,510 hingga 1,530 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 4.0 sen kepada RM10.22, Tenaga Nasional naik 6.0 sen kepada RM13.38, IHH Healthcare meningkat 9.0 sen kepada RM6.90 dan CIMB Group menokok 1.0 sen kepada RM7.05.
Sementara itu, Public Bank berkurangan 1.0 sen kepada RM4.46.
Dalam kalangan saham aktif, MBSB merosot 1.5 sen kepada 70.5 sen dan Nationgate Holdings susut 3.0 sen kepada RM1.31 manakala NEXG, Reach Energy dan Ingenieur Gudang, masing-masing mendatar pada 25.5 sen, 1.5 sen dan 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 28.43 mata kepada 11,348.89, Indeks FBMT 100 berkurangan 26.49 mata kepada 11,107.95, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 44.30 mata kepada 11,079.5, Indeks FBM 70 susut 43.04 mata kepada 16,275.43 dan Indeks FBM ACE merosot 3.33 mata kepada 4,728.50.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.50 mata kepada 152.56, Indeks Tenaga susut 2.22 mata kepada 750.52 dan Indeks Perladangan merosot 3.74 mata kepada 7,450.51.
Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.71 mata kepada 18,488.69.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial