Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih tinggi, didorong oleh sentimen positif susulan pengumuman penangguhan sementara tarif oleh Amerika Syarikat (AS) yang meredakan potensi perang dagangan besar-besaran serta berlakunya kemelesetan ekonomi.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 64.41 mata atau 4.60 peratus kepada 1,465.00 daripada 1,400.59 di akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka meningkat mendadak sebanyak 63.71 mata pada 1,464.30 dan bergerak dalam julat 1,453.13 hingga 1,473.36 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 989 berbanding 166 manakala 261 kaunter tidak berubah, 950 tidak didagangkan dan 10 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.85 bilion saham bernilai RM2.14 bilion.
Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata ekuiti Asia diniagakan kukuh susulan pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai tempoh penangguhan tarif selama 90 hari.
“Peserta pasaran kini memberi tumpuan terhadap sebarang isyarat rundingan atau perjanjian daripada China -- khususnya selepas semua aset berisiko menyaksikan aliran masuk dana di Wall Street pada tengah hari semalam,” katanya kepada Bernama.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik 47 sen kepada RM9.97, Public Bank Public Bank menokok 14 sen kepada RM4.23, Tenaga Nasional menambah 46 sen kepada RM13.28, CIMB melonjak 54 sen kepada RM6.89 dan IHH Healthcare meraih lima sen kepada RM6.76.
Saham aktif pula menyaksikan MYEG menokok 7.5 sen kepada 83 sen, Top Glove meningkat 8.5 sen kepada 90.5 sen, Sapura Energy tidak berubah pada 4.5 sen, Supermax naik 5.5 sen kepada 86 sen, SumiSaujana menambah setengah sen kepada 18.5 sen manakala Inari Amertron meningkat 23 sen kepada RM1.68.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 507.25 mata kepada 10,851.03, Indeks FBMT 100 meningkat 500.61 mata kepada 10,649.45 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 497.21 mata kepada 10,599.90.
Indeks FBM 70 melonjak 845.37 mata kepada 15,227.74, Indeks FBM ACE naik 201.13 mata kepada 4,347.39.
Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 823.72 mata kepada 17,728.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 6.83 mata kepada 138.87, Indeks Tenaga meraih 43.13 mata kepada 655.72 dan Indeks Perladangan menokok 214.56 mata kepada 7,053.65.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial