PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TERUSKAN KENAIKAN DISOKONG SENTIMEN POSITIF

15/04/2025 07:26 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum positifnya untuk ditutup lebih tinggi hari ini berikutan sentimen pelabur yang bertambah baik seiring dengan prestasi pasaran serantau yang memberangsangkan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.57 mata kepada 1,486.43 daripada paras penutup 1,480.86 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 3.15 mata kepada 1,484.01 dan bergerak antara jajaran 1,480.02 hingga 1,489.90.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 478 berbanding 431, manakala 459 kaunter tidak berubah, 1,029 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.36 bilion unit bernilai RM1.91 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.06 bilion sebelumnya.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keyakinan yang tercetus semula itu sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan terkini dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

“Pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai pengecualian terpilih daripada tarif yang dicadangkan memberikan kelegaan seketika, mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan perdagangan yang agresif.

"Kenaikan pasaran hari ini meluas, dengan peningkatan ketara dalam saham kewangan, utiliti dan saham barangan bukan keperluan pengguna," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata prestasi FBM KLCI seiring dengan momentum positif yang dicatatkan indeks serantau seperti Indeks Straits Times Singapura dan Indeks Komposit Bursa Saham Jakarta Indonesia, apabila pasaran mula mengambil kira kemungkinan pengecualian tarif selanjutnya oleh AS.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks petunjuk pasaran tempatan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan momentum dan sentimen mula bertambah baik secara beransur-ansur.

"Jika indeks itu melepasi paras rintangan segera pada 1,491, pasaran dijangka mencatatkan kenaikan. Buat masa ini, FBM KLCI dijangka didagangkan dalam jajaran 1,450–1,500 bagi tempoh berbaki minggu ini, dengan sokongan serta-merta pada 1,450," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 5.0 sen kepada RM9.94, Tenaga Nasional meningkat 6.0 sen kepada RM13.44 dan IHH Healthcare menambah 3.0 sen kepada RM6.81.

CIMB Group susut 3.0 sen kepada RM6.70, Public Bank tidak berubah pada RM4.31.

Dalam kalangan kaunter cergas, Pertama Digital naik 4.5 sen kepada 13 sen, MSB Global yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE susut 3.0 sen kepada 17 sen, Kucingko turun 2.5 sen kepada 14.5 sen dan Reach Energy berkurangan 1.0 sen kepada setengah sen manakala Velocity tidak berubah pada 8.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.45 mata kepada 11,039.21, Indeks FBMT 100 naik 38.52 mata kepada 10,823.64, Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 34.16 mata kepada 10,853.70, Indeks FBM 70 menokok 47.13 mata kepada 15,550.28, dan Indeks FBM ACE menambah 13.02 mata kepada 4,537.76.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 72.21 mata kepada 17,827.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.79 mata kepada 145.28.

Sementara itu, Indeks Tenaga susut 1.18 mata kepada 654.88, dan Indeks Perladangan turun 4.44 mata kepada 7,205.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.32 bilion unit bernilai RM1.60 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.62 bilion unit bernilai RM189.06 juta daripada 1.23 bilion unit bernilai RM141.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 418.22 juta unit bernilai RM120.69 juta daripada 312.55 juta unit bernilai RM107.20 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 212.59 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (209.67 juta), pembinaan (132.87 juta), teknologi (169.70 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (61.14 juta), hartanah (147.51 juta), perladangan (22.95 juta), REITS (11.21 juta), dana tertutup (100), tenaga (168.73 juta), penjagaan kesihatan (59.19 juta), telekomunikasi dan media (28.76 juta), pengangkutan dan logistik (53.96 juta), utiliti (40.40 juta), dan amanah perniagaan (7,900).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan