KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Bursa Malaysia merosot daripada kenaikan semalam apabila dibuka rendah pada Jumaat, sejajar dengan prestasi Wall Street yang lemah berikutan kebimbangan baharu mengenai prospek perdagangan global.
Semalaman, Dow Jones Industrial Average merosot 2.5 peratus kepada 39,593.66. S&P 500 berkurangan 3.4 peratus kepada 5,268.05 manakala Nasdaq Composite susut 4.31 peratus kepada 16,387.31.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 25.95 mata atau 1.77 peratus kepada 1,437.18 daripada 1,463.13 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 21.47 mata kepada 1,441.66.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 435 berbanding 61. Sejumlah 196 kaunter tidak berubah, 1,673 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 151.36 juta saham bernilai RM127.40 juta.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikan, ekuiti Amerika Syarikat (AS) ditutup rendah berikutan menyedari bahawa penangguhan tarif selama 90 hari oleh Presiden Donald Trump hanyalah kelegaan sementara dan perang perdagangan utama dengan China masih berterusan.
“Kami percaya perang perdagangan antara China dan AS masih berterusan, justeru sentimen pasaran kekal tidak menentu.
“Dalam negara, walaupun kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan berterusan, ketidaktentuan pasaran pada masa ini boleh menjadi halangan besar untuk sebarang aliran meningkat,” katanya, sambil menambah FBM KLCI dijangka berada dalam julat 1,460 hingga 1,480 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 17 sen kepada RM9.82, Public Bank berkurangan lapan sen kepada RM4.17, Tenaga Nasional susut 26 sen kepada RM13.04, CIMB turun 30 sen kepada RM6.61 dan IHH Healthcare merosot sembilan sen kepada RM6.71.
Dalam dagangan aktif, Velesto Energy dan SumiSaujana, masing-masing susut setengah sen kepada 14 sen dan 18.5 sen. MYEG berkurangan satu sen kepada 82.5 sen, Nationgate merosot empat sen kepada RM1.15 manakala Aumas meningkat 3.5 sen kepada 67 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 198.28 mata kepada 10,644.13.00. Indeks FBMT 100 merosot 199.40 mata kepada 10,441.40 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 160.91 mata kepada 10,407.91.
Indeks FBM 70 susut 328.17 mata kepada 14,906.96 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 39.06 mata kepada 4,330.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 381.63 mata kepada 17,382.58, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.95 mata kepada 136.85, Indeks Tenaga berkurangan 18.89 mata kepada 641.05 dan Indeks Perladangan turun 60.90 mata kepada 6,984.99.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial