PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP LEBIH RENDAH

11/04/2025 07:24 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada dalam wilayah negatif hari ini dengan mengakhiri minggu ini dalam keadaan suram, terjejas dengan penjualan saham mewah perbankan memandangkan pelabur terus menilai prospek perdagangan global.

Pada 5 petang, FBM KLCI menyusut 8.37 mata atau 0.57 peratus kepada 1,454.76 daripada 1,463.13 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 21.47 mata kepada 1,441.66 dan menyusut kepada paras rendah 1,434.92 pada sesi dagangan pagi sebelum pulih semula dan mencapai paras tertinggi 1,462.15 pada sesi awal petang.

Bagaimanapun sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 472 berbanding 442, sebanyak 456 kaunter tidak berubah, 993 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.80 bilion unit bernilai RM2.46 bilion berbanding 4.41 bilion unit bernilai RM3.81 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan sentimen pelabur kekal terjejas dengan kebimbangan baharu mengenai cadangan kenaikan tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas China.

"Walaupun pada masa ini terdapat penangguhan sementara dalam sebahagian perkara, kebimbangan yang meluas dalam aliran perdagangan terjejas dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan terus membayangi data makroekonomi yang menggalakkan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti serantau Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur hari ini, bertindak balas berhati-hati terhadap jualan besar-besaran di Wall Street dalam tempoh semalaman.

"Bagaimanapun, China dan Hong Kong menjangkau prestasi selepas Beijing mengulangi komitmennya untuk menyokong pasaran tempatan dan menyatakan rancangan terhadap langkah rangsangan tambahan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank rendah 17 sen kepada RM9.82,  Public Bank menyusut satu sen kepada RM4.24, Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM13.22, CIMB rendah 26 sen kepada RM6.65 dan IHH Healthcare kekal pada RM6.80.

Bagi dagangan aktif, MYEG menambah 6.5 sen kepada 90 sen, SumiSaujana naik setengah sen kepada 19.5 sen, Gamuda turun lapan sen kepada RM3.77, Top Glove susut setengah sen kepada 90.5 sen, dan Tanco menyusut dua sen kepada 78 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 32.33 mata kepada 10,810.08 dan Indeks FBMT 100 susut 39.13 mata kepada 10,601.67 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.09 mata kepada 10,604.91.

Indeks FBM 70 meningkat 30.80 mata kepada 15,265.93 dan Indeks FBM ACE naik 42.46 mata kepada 4,412.19.

Di seluruh sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 229.68 mata kepada 17,534.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 139.43, Indeks Tenaga susut 11.20 mata kepada 648.74, dan Indeks Perladangan meningkat 16.64 mata kepada 7,062.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.44 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM3.52 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 969.44 juta unit bernilai RM964.69 juta daripada 1.35 bilion unit bernilai RM134.97 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 382.27 juta unit bernilai RM117.12 juta daripada 494.69 juta unit bernilai RM155.19 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 181.63 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (187.21 juta), pembinaan (109.76 juta), teknologi (266.49 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (115.30 juta), hartanah (182.35 juta), perladangan (23.54 juta), REIT (10.35 juta), dana tertutup (13,100), tenaga (159.33 juta), penjagaan kesihatan (97.92 juta), telekomunikasi dan media (35.18 juta), pengangkutan dan logistik (25.62 juta), utiliti (48.42 juta), dan amanah perniagaan (49,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan