PASARAN > BERITA

AKTIVITI BELIAN PACU BURSA MALAYSIA NAIK 20.68 MATA PADA TENGAH HARI

14/04/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Isnin dengan lebih mengukuh, didorong oleh minat belian baharu yang ketara dan merentasi papan indeks dengan kenaikan diterajui oleh saham-saham wajaran tinggi produk industri, kewangan dan telekomunikasi.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 20.68 mata atau 1.42 peratus kepada 1,475.44 daripada 1,454.76 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 19.29 kepada 1,474.05 mata pada bergerak dalam julat 1,472.14 hingga 1,479.03 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 667 berbanding 243 dengan 346 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,127 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.93 bilion saham bernilai RM1.05 bilion.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata peniaga akan mengikuti rapat lawatan negara oleh Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada 15-17 April, 2025, di tengah-tengah harapan peningkatan aliran masuk pelaburan ke negara ini.

“Selain itu, kami juga percaya pengeluar sarung tangan Malaysia akan mendapat manfaat daripada perbezaan tarif yang dikenakan ke atas pengeluar China. Ini disertakan pula dengan kos bahan mentah lebih rendah yang akan menyuntik permintaan dan pertumbuhan margin lebih kukuh.

“Di peringkat teknologi, pembatalan kekangan eksport ke atas cip AI H20 NVIDIA ke China, berkemungkinan memberi kelegaan sementara kepada pembekal rantaian pusat data. Ini berikutan laporan mengenai kemungkinan tarif lebih khusus ke atas semikonduktor China yang boleh menjadikan sentimen pasaran goyah dalam masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Tenaga Nasional meraih 8.0 sen masing-masing kepada RM9.90 dan RM13.30, CIMB Group menokok 7.0 sen kepada RM6.72 manakala Public Bank naik 6.0 sen kepada RM4.30.

IHH Healthcare sebaliknya turun 5.0 sen kepada RM6.75.

Bagi saham aktif, Inari Amertron melonjak 11.0 sen kepada RM1.77, MY EG Services meraih 2.5 sen kepada 92.5 sen, Tanco Holdings naik 2.0 sen kepada 80 sen manakala NationGate Holdings menambah 1.0 sen kepada RM1.24.

Bina Puri Holdings sebaliknya tidak berubah pada 34.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menaik 146.67 mata kepada 10,956.75, Indeks FBMT 100 meningkat 143.38 mata kepada 10,745.05, Indeks FBM Emas Shariah menokok 161.03 mata kepada 10,765.94, Indeks FBM 70 melonjak 177.06 mata kepada 15,442.99 dan Indeks FBM ACE naik 77.28 mata kepada 4,489.47.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 186.12 mata kepada 17,720.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 3.00 mata kepada 142.43, Indeks Tenaga meraih 4.10 mata kepada 652.84 manakala Indeks Perladangan menambah 125.50 mata kepada 7,188.03.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan